Anda di sini

Galeri Warisan Melanau bakal rancak pelancongan

Advertisement
 Abang Johari (tiga kiri) ditemani Fatimah (kanan) meninjau pelan dan pameran pada Majlis Pecah Tanah Galeri Warisan Melanau semalam.
TERTARIK: Abang Johari (tiga kiri) ditemani Fatimah (kanan) meninjau pelan dan pameran pada Majlis Pecah Tanah Galeri Warisan Melanau semalam.

Abang Johari umum peruntukan tambahan RM2 juta untuk pembinaan bangunan tersebut 

DALAT: Pembinaan bangunan Galeri Warisan Melanau di sini bakal merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi di bahagian Mukah.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengumumkan peruntukan tambahan sejumlah RM2 juta untuk pembinaan bangunan tersebut yang sebelum ini hanya RM1.1 juta.

Saya tidak teragak-agak menambah RM2 juta untuk pembinaan galeri ini bagi membangunkan kebudayaan Melanau sekali gus memacu Mukah sebagai tarikan pelancongan.

Ini bermakna, bangunan Galeri Warisan Melanau mempunyai kos kira-kira RM3.1 juta keseluruhannya,” kata beliau pada Majlis Pecah Tanah Galeri Warisan Melanau Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Dalat di Stadium Perpaduan Dalat, petang semalam.

Hadir sama isterinya Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Muda Kesejahteraan Masyarakat Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Yussibnosh Balo serta kenamaan lain.

Abang Johari berkata, penduduk setempat boleh menggunakan teknologi memuat naik gambar-gambar bangunan itu di talian untuk dipromosikan kepada dunia.

Kebudayaan ada hubung kait dengan ekonomi. Itulah kekayaan negeri ini iaitu kaya dengan kepelbagaian kebudayaan daripada setiap etnik yang ada.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berkata, jika ingin melihat budaya menjadi satu ikatan kukuh, Sarawaklah modelnya.

Justeru, kita mesti mempertahankan kebudayaan kita serta mempraktikkannya,” tegasnya.

Beliau amat setuju dengan cadangan Fatimah untuk membina bangunan tersebut bagi memulihara kebudayaan.

Kebudayaan juga adalah mencerminkan kekayaan kita Sarawak. Saya mengucapkan tahniah kepada Fatimah kerana ada wawasan mempertahankan kebudayaan menerusi pembinaan bangunan Galeri Warisan Melanau ini,” katanya.

Terdahulu, Fatimah dalam ucapannya berkata projek galeri tersebut merupakan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan lokasinya adalah antara Pejabat Daerah Oya dan kuarters lama di Dalat.

Menurutnya, projek itu atas inisiatif LAKMO (Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Oya) yang ditubuhkan pada 1958 di mana LAKMO kini dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Tapak galeri ini telah diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Survei pada 22 Jun lalu.

Galeri ini dari segi konsepnya di tingkat bawah menempatkan sejarah Oya, asalnya di bawah pentadbiran pembesar dan kerabat Diraja Brunei Darusalam iaitu ditadbir Pengiran Mohd Ali dan diserahkan oleh Sultan Brunei kepada James Brooke pada 1861.

Kini Oya menjadi daerah kecil dalam daerah Dalat dan dalam bahagian Sibu dan kemudiannya berpindah ke bahagian Mukah pada 2003,” jelasnya.

ADUN Dalat itu memberitahu bahawa galeri warisan ini menempatkan budaya adat tradisi kaum Melanau.

Katanya, galeri ini juga menempatkan rekod aktiviti ekonomi masyarakat Melanau iaitu industri rumbia dan perikanan.

Dari segi rekaan bangunan, kita meminta seorang anak tempatan mereka bentuk bangunan dan beliau adalah arkitek bertauliah,” katanya.   

  • oleh
  • Advertisement