Anda di sini

140 unit sistem pemadam api diagih ke rumah panjang di seluruh negeri

Advertisement

PAKAN: Lebih dari 140 unit sistem pemadam api diagihkan ke rumah panjang di negeri ini.

Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC), Datuk Joseph Salang Gandum berkata sistem itu terdiri pam air tekanan tinggi, hos, nozel dan tangki air.

Sistem ini diperkenalkan Pensyarah Universiti Swinburne Kampus Sarawak, Dr Richard Belanda Dagang untuk mencegah kebakaran di rumah panjang,” katanya melancarkan Sistem Pemadam Api di Rumah Nyambar Chandai, Hulu Kota di sini semalam.

Jelasnya, ia adalah peralatan sangat penting untuk rumah panjang terutama yang jauh di pedalaman untuk memadam api dengan segera.

Ahli Parlimen Julau itu mengingatkan mereka yang diberikan kemudahan itu berlatih menggunakannya agar dapat dikendalikan dengan cara betul apabila berlaku kecemasan.

Beliau berkata, kecuaian manusia adalah punca kebakaran rumah panjang dan dengan itu mendesak rakyat supaya berhati-hati apabila memasak atau menggunakan peralatan elektrik.

Tuai Rumah Nyambar berkata, dengan adanya sistem ini mereka berasa lega dan bersedia berlatih menggunakannya.

Kami amat berterima kasih kepada Salang, 1MSAC dan kerajaan kerana menjaga kebajikan kami,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui Dr Richard memberitahu alat sistem itu sangat sesuai digunakan di rumah panjang.   

Ini kerana rumah panjang lebih kecil berbanding dengan sebuah kampung dengan banyak rumah individu.

Ia sesuai untuk rumah panjang yang jauh dari mana-mana balai bomba,” katanya.

Beliau menjelaskan, ia kini mendapat versi sistem baharu yang dipercayai lebih kuat.

Saya telah memutuskan untuk menggunakan pam air lebih kuat ditambah dengan empat tangki air daripada air hujan yang ditadah.

Sistem sebelumnya menggunakan tiga tangki. Setiap tangki seperti biasa boleh memuatkan kandungan 40 gelen air,” katanya.

Dr Richard berkata, sistem terdahulu boleh menelan belanja sehingga RM15,000.

Sebelum ini, kita menggunakan pam air kuasa kuda 6.5 tetapi sekarang kita lebih suka kuasa kuda 13,” katanya.

Beliau berkata, sistem itu juga telah diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan bagaimana ia beroperasi sebanyak dua kali,” katanya.

Dr Richard memberitahu, orang yang bertanggungjawab untuk operasinya perlu berunding atau berlatih dengan pihak bomba mengenai cara mengendalikannya.

Beliau berkata, tuai rumah yang berminat memperolehi sistem itu harus menghubungi 1MSAC atau wakil masing-masing.

Terdahulu, Salang melawat mangsa kebakaran di Rumah Mandaw Bili dekat Sebangkoi di Sarikei.

Rumah panjang 12 pintu itu musnah dalam kejadian kebakaran jam 10.45 pagi pada Hari Raya Aidilfitri pertama lalu.

Advertisement