Anda di sini

Terlepas tangan rakan

Advertisement

   

 Sungai di mana kejadian tersebut dilaporkan berlaku.
TEMPAT KEJADIAN: Sungai di mana kejadian tersebut dilaporkan berlaku.

Mangsa serangan buaya di Sg Plasan sempat ditarik rakan namun terlepas diheret ke dasar sungai.

PUSA: Mangsa serangan buaya di Sungai Plasan, Beladin di sini sempat ditarik rakannya sebelum terlepas diheret reptilia tersebut ke dasar sungai dalam satu insiden pada petang kelmarin.

Difahamkan, mangsa Sulaiman, berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah ladang sawit, singgah di sungai tersebut bersama rakannya dikenali sebagai Jusran untuk memancing ikan sekitar jam 6 petang.

Bagaimanapun, mangsa yang sedang memeriksa jorannya tiba-tiba disambar seekor buaya dan kejadian tersebut disaksikan oleh Jusran yang kemudian cuba menarik tangan mangsa.

Bagaimanapun, tangan mangsa terlepas apabila reptilia tersebut terus mengganas dan mengheret mangsa ke dasar sungai,” kata sumber.

Rakannya kemudian cuba untuk mencari mangsa di sekitar sungai tersebut, namun menemui jalan buntu dan terus melaporkan kepada pihak polis untuk bantuan.

Mangsa merupakan warga Indonesia dan berasal dari Bulukumba, Indonesia.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberitahu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.43 malam dan terus ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR)

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dan rakannya baharu pulang dari kerja dan singgah di sungai tersebut untuk memancing.

Jarak tempat kejadian dari balai bomba ialah kira-kira 60 kilometer dan terpaksa menaiki feri dan menyeberangi Sungai Saribas untuk sampai ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Operasi SAR pada malam hari kejadian ditangguh sekitar tengah malam disebabkan keadaan semakin gelap dan air pasang.

Operasi yang turut melibatkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) disambung seawal jam 8.04 pagi semalam dan terpaksa dihentikan sekitar jam 5 petang kerana air mulai pasang.

Operasi akan disambung pada jam 8.00 pagi hari ini dengan menumpukan pencarian di sekitar kawasan sungai tersebut.

  • oleh
  • Advertisement