Anda di sini

Dua generasi berbeza kongsi kisah raya dahulu dan sekarang

Advertisement
__alt__

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri diraikan sepanjang bulan Syawal oleh pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira umur di sebalik kemajuan dunia hari ini, semangat kebersamaan itu tetap kekal.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor Profesor Madya Amrizah Kamaluddin berkata, hari raya pada masa dahulu tidak dapat disangkal sebagai masa menyeronokkan untuk anak-anak tetapi kegembiraan masih sama sehingga sekarang.

“Saya teringat bermain bunga api dan pergi dari satu rumah ke rumah lain bertemu dengan rakan pada malam hari raya tanpa rasa bimbang sedangkan sekarang, ibu bapa lebih prihatin terhadap isu keselamatan anak-anak tetapi percaya suasana kegembiraan perayaan masih sama,” katanya.

Beliau menjelaskan selain itu, kini segala-galanya dibuat untuk memudahkan kehidupan setiap orang kerana masyarakat boleh membeli pelbagai jenis biskut dan kek di mana-mana, ucapan raya dihantar melalui media sosial tetapi budaya menziarahi masih tebal diamal,” katanya kepada Utusan Borneo di Miri, baru-baru ini.

Selain itu, banyak perubahan dan inovasi berlaku sepanjang tahun dan bagi sesetengah orang, meraikan Aidilfitri di bandar tidak sama dengan di kampung.

“Saya turut menyedari trend pergi bercuti semasa sambutan hari raya dan jika di bandar, tidak banyak lampu raya dipasang atau anak-anak bermain bunga api serta tidak melihat orang memakai kostum tradisional melainkan hari raya pertama,” katanya sambil menambah kenangan manisnya menyambut hari raya ketika dulu ialah mendapat duit syiling sebagai duit raya.

Sementara itu, Hari Raya Aidilfitri memberi banyak makna kepada Ketua Kaum Noh Mat, 71, dari Kampung Bukit Bom Niah di Miri.

“Pada zaman saya, tidak mempunyai bekalan elektrik, air atau jalan raya, kita tidak mempunyai pelbagai jenis kek lapis seperti sekarang dan membuat ‘meriam buluh’ sendiri dan ini amat berbeza dengan suasana sekarang,” katanya ketawa.

Jelasnya, pada zaman kanak-kanak mereka tidak mendapat duit raya tetapi sambutan masih tetap menyeronokkan.

Noh yang mempunyai 18 cucu ini menyatakan, perayaan baginya sekarang adalah masa untuk dihabiskan bersama keluarga dan rakan taulan.

“Saya melihat budaya menziarahi masih diamalkan dan saya harap semua orang meraikan hari raya dengan kesederhanaan tanpa melupakan apa maksud sebenar sambutan hari raya tersebut,” tambah Noh yang juga pengerusi Masjid Al-Jabbar di Niah.

Seorang pegawai kanan kerajaan, Hikmatullah Aziz Ahmad Khan berkata, pada tahun 60-an terdapat aktiviti menyeronokkan dengan adanya live band dan pencak silat diadakan dari malam Hari Raya Aidilfitri dan seterusnya.

“Membesar di Kampung Jepak, Bintulu, saya teringat bagaimana perayaan itu menjadi musim gembira dan pada pagi raya.

“Ibu bapa memberi saya dan adik-beradik 20 hingga 30 sen setiap seorang dan kami guna untuk beli ‘sutong tunok’, air batu campur dan seronok bermain di tepi jalan yang sunyi daripada kesesakan kereta,” ceritanya.

Tambahnya, beliau lebih menyukai ucapan raya melalui kad kerana ia lebih bersifat peribadi berbanding menggunakan media sosial.

Manakala, pelajar perubatan tahun kedua Shaqil Firdaus Mohd Amadin yang belajar di Dublin, Ireland tidak pernah terlepas perayaan Hari Raya Aidilfitri dan akan kembali ke Miri setiap tahun untuk meraikannya bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Apa yang paling saya sukai pada hari raya ialah makanan, berziarah raya dan meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan saya,” katanya sambil menambah, dahulu orang biasa menghantar kad hari raya tetapi kini ia hanya melalui media sosial.

Sementara itu, pelajar kejuruteraan kimia Curtin University Malaysia Liyana Aqilah Alias berkata, ketika ini budaya berziarah raya itu semakin berkurang dan apabila berziarah, masing-masing akan sibuk dengan telefon pintar dan bukannya berborak dengan orang di sekeliling.

“Apa yang paling saya gemar mengenai hari raya ialah dapat bertemu dengan keluarga dan kawan-kawan, menikmati pelbagai juadah dan mendapat duit raya.

“Hari raya adalah masa meminta maaf daripada keluarga dan rakan. Saya dapat melihat pelbagai jenis pakaian hari raya yang dipakai oleh setiap orang semasa musim perayaan ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement