Anda di sini

Suami pegawai pertanian direman tujuh hari

Advertisement
 Seorang kontraktor yang juga suami kepada seorang Penolong Pegawai Pertanian di Pusat Hortikultur Sendayan di Seremban direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat. — Gambar Bernama
DIREMAN: Seorang kontraktor yang juga suami kepada seorang Penolong Pegawai Pertanian di Pusat Hortikultur Sendayan di Seremban direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Seorang kontraktor yang juga suami kepada seorang Penolong Pegawai Pertanian di Pusat Hortikultur Sendayan di sini, direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat.

 Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas (Reman) Rahimah Rahim di sini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

 Suspek y ang be rusia 31 tahun itu hadir ke mahkamah semalam dengan memakai baju lokap, didakwa terlibat dalam melaksanakan Projek Menyelenggara Sistem Pengairan Projek Herba dan Projek Menyelenggara Nurseri Herba, Pusat Pertanian Sendayan yang masing-masing bernilai RM10,100 dan RM19,900.

 Siasatan ke atas tertuduh yang ditangkap di pejabat SPRM negeri pada 4.13 petang semalam itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

 Bagaimanapun isterinya yang berusia 34 tahun, dilepaskan dengan jaminan tanpa cagaran sebanyak RM5,000 selepas tempoh reman enam hari berakhir semalam.

 Wanita itu sebelum ini didakwa menggunakan kedudukannya melantik suaminya untuk melaksanakan dua projek penyelenggaraan di Pusat Pertanian Sendayan.

 Kesemua kesalahan didakwa dilakukan sekitar Ogos tahun lepas.

 Sementara itu di Melaka, bekas pengurus dan seorang pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) direman tujuh hari bermula semalam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa meluluskan pemindahan wang syarikat sebanyak RM4 juta ke akaun syarikat milik mereka berdua.

 Penolong Pendaftar Majistret Mahkamah Melaka, Mohd Anuar Ostadi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya kedua-dua suspek berumur 76 dan 43 tahun itu direman bermula semalam. — Bernama

Advertisement