Anda di sini

Suami isteri dipenjara setahun, miliki tiga butir bom

Advertisement

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri masingmasing dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana memiliki tiga butir bom buatan sendiri di sebuah unit di Kondominium Metropolitan Square, Damansara Perdana, April tahun lalu.

 Hakim Hilmiah Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur, Ng Woon Chieh, 39, dan isterinya Chow How Luen, 41, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki tiga bahan letupan.

 Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mei tahun lalu atau lapan bulan penjara lagi sekiranya denda gagal dibayar.

 Mereka membayar denda itu.

 Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah unit kondominium di Metropolitan Square, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, di sini pada 6 pagi, 17 April tahun lepas.

 Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

 Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

 “Saya pohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam, lebihlebih lagi keadaan sekarang yang penuh dengan berita berkaitan pengganas. Perbuatan mereka ini juga boleh menimbulkan kegentaran kepada masyarakat awam yang tidak mempunyai informasi tentang bahan letupan,” katanya.

 Kedua-dua tertuduh, yang diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan, dalam rayuannya memohon hukuman minimum atas alasan mereka menjaga ibu yang sakit tua dan pengakuan bersalah mereka juga telah menjimatkan kos dan masa mahkamah.

 Mengikut fakta kes, pihak polis telah menyerbu unit kondominium dan menemui tiga butir bom yang disyaki masih berfungsi sebelum menghubungi unit pemusnah bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

 Dalam kejadian 17 April tahun lalu, lebih 200 penduduk kondominium itu gempar apabila dimaklumkan penemuan bom di dalam sebuah unit kediaman di situ sebelum semua bahan letupan itu dibawa ke kawasan lapang berdekatan untuk dimusnahkan. — Bernama

Advertisement