KOTA KINABALU: Polis mencatatkan satu lagi kes gantung diri membabitkan pembantu rumah di Taman Yun Kiong, di sini, menjadikan tiga kes bunuh diri diterima sejak awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata mangsa yang juga seorang pembantu rumah dikenali sebagai Tresia Paulus, 42, ditemui tergantung di dalam biliknya pagi Selasa.
“Kejadian jam 6 pagi itu disedari majikan mangsa yang ingin mengejutkan mangsa untuk memulakan kerja harian.
“Mangsa dilihat berada dalam keadaan tergantung menggunakan tuala putih di bahagian jeriji jendela.
“Majikannya mengesyaki mangsa sudah meninggal dunia selepas menyentuh tangan mangsa yang sejuk,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian iaitu bilik hadapan mendapati tiada apa-apa kesan fizikal pada badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah,” katanya, sambil menyatakan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Chandra berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai membunuh diri kerana kecewa keluarganya tidak bersetuju dia berkahwin dengan pilihannya.