Anda di sini

‘Black Widow’ Jepun akui racun suami

Advertisement
 Kakehi dalam gambar fail 13 Mac, 2014. — Gambar AFP
MENGAKU: Kakehi dalam gambar fail 13 Mac, 2014. — Gambar AFP

TOKYO: Bekas jutawan yang digelar ‘Black Widow’ ekoran kematian aneh kekasih dan seorang suaminya, mengakui meracun pasangan terakhirnya pada perbicaraan minggu ini dalam kes pembunuhan berganda yang mencengkam Jepun.

Chisako Kakehi, 70, dituduh membunuh sejumlah lelaki tua yang mempunyai hubungan dengannya, sekali gus dibandingkan dengan labah-labah tersebut yang membunuh pasangannya selepas mengawan.

Kakehi dibicarakan atas pembunuhan tiga lelaki, seorang daripadanya suaminya, dan cubaan membunuh seorang lagi, semuanya untuk mendapatkan pampasan polisi insurans.

Pendakwa raya mengesyaki dia menggunakan sianida untuk membunuh mangsanya dan mengaut pampasan mencecah satu bilion yen dalam tempoh 10 tahun.

Ketika perbicaraan ke atasnya bermula minggu ini mengenai pembunuhan suami keempatnya pada 2013, dia membuat pengakuan mengejutkan kepada hakim.

Saya menunggu masa yang tepat untuk membunuhnya kerana terlalu membencinya,” akhbar Asahi memetik katanya pada Isnin.

Rangkaian televisyen Fuji memetik katanya jenayah tersebut sekadar soal wang.

Tetapi semalam, Kakehi menarik balik katanya.

Saya tidak ingat (apa yang saya katakan),” katanya, menurut harian Mainichi.

Peguamnya mempertikai Kakehi tidak bersalah membunuh Isao Kakehi atas alasan kemerosotan tanggungjawab.

Mahkamah Daerah Kyoto tahun lepas mengesahkan pemeriksaan perubatan mendapati Kakehi menghidap nyanyuk peringkat awal tetapi masih layak dibicarakan.

Sekiranya disabitkan, dia berdepan hukuman mati.

Kakehi mempunyai hubungan dengan ramai lelaki, kebanyakannya tua atau sakit, segelintirnya melalui agensi temu janji, di mana dia dilaporkan menetapkan bakal pasangan haruslah kaya dan tidak mempunyai anak.

Pendakwa raya berkata, mangsanya dibunuh selepas menjadikannya penerima polisi insurans hayat yang mencecah jutaan dolar.

Laporan berkata, dia kemudian kehilangan kebanyakan wangnya dalam dagangan kewangan.

Kakehi yang turut dikenali sebagai ‘Wanita Beracun’, dikatakan menyimpan sianida dalam pasu bunga yang kemudian dibuangnya.

Sianida ditemui dalam mayat sekurang-kurangnya seorang lelaki yang terlibat dengannya sebelum perkahwinannya baru-baru ini.

Polis yang menyerbu rumahnya di Kyoto turut menemui sisa sianida dalam tong sampah, selain peralatan untuk menggunakan dadah dan buku perubatan dalam pangsapuri yang dimilikinya di selatan Kyoto.

Pendengaran akhir kes adalah Oktober dan keputusan pada November. — AFP

Advertisement