Anda di sini

Bekas kontraktor didakwa sekali lagi

Advertisement
 Mohammad Trevor didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM246,500 membabitkan kerja-kerja menaiktaraf sistem audio visual pameran di Muzium Perak, Taiping pada 2013. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Mohammad Trevor didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM246,500 membabitkan kerja-kerja menaiktaraf sistem audio visual pameran di Muzium Perak, Taiping pada 2013. — Gambar Bernama

IPOH: Seorang bekas kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM246,500 membabitkan kerja-kerja menaik taraf sistem audio visual pameran di Muzium Perak,Taiping, hampir empat tahun lepas.

 Tertuduh, Mohammad Trevor Mohammad Darby, 35, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S.Indra Nehru.

 Dia didakwa dengan niat memperdayakan kurator muzium itu, Nor Hanisah Ahmad menerusi satu dokumen iaitu pesanan kerajaan berserta invois berjumlah RM246,500 membabitkan kerja-kerja menaik taraf sistem audio visual pameran di Muzium Perak, Taiping.

 Bagaimanapun, tertuduh memberikan butiran palsu dengan memperakui pembekalan sepenuhnya dibuat dalam keadaan memuaskan dan mengikut penentuan sedangkan kerja-kerja pembekalan tidak disiapkan.

 Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Muzium Perak, Taiping, pada 24 Dis 2013.

 Mohammad Trevor didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

 Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 Terdahulu, Nurul Wahida memohon mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain menye-rahkan pasport kepada mah-kamah.

 Bagaimanapun, tertuduh memohon wang jaminan yang rendah berikutan beliau tidak lagi bekerja dan hanya membuat perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian.

 Indra Nehru kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain kes disebut semula pada 27 Julai ini.

 Minggu lepas, Mohammad Trevor didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM169,500 berhubung kerja membangunkan sistem pameran berkonsepkan holografik di Muzium Seni Bina Malaysia Melaka.

 Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

 Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Muzium Seni Bina Malaysia Melaka, 24 Dis 2013. — Bernama

Advertisement