Anda di sini

Satu lagi geng pecah rumah diberkas

Advertisement
 Ramli (tiga kiri) menunjukkan rampasan peralatan yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan pecah rumah.
TUMPAS: Ramli (tiga kiri) menunjukkan rampasan peralatan yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan pecah rumah.

KOTA KINABALU: Selepas seminggu tangkapan yang menumpaskan dua geng pecah rumah sekitar bandar raya, satu lagi kumpulan yang aktif dalam kegiatan pecah rumah berjaya diberkas polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, tujuh suspek dipercayai ahli Geng Kelvin ditahan pada Selasa di dua rumah berasingan dan satu di kawasan sekitar Taman Nelly Kolombong Inanam, di sini.

Katanya, tangkapan berkenaan melibatkan empat suspek lelaki dan tiga perempuan berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun.

Dengan tertangkapnya kesemua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan 19 kes pecah rumah membabitkan anggaran kerugian kira-kira RM800,000.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan ia tangkapan terbesar setakat ini dalam tempoh Februari hingga 3 Julai lepas.

“Serbuan dibuat oleh Task Force Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira jam 2.30 pagi hingga 12 tengah malam.

“Hasil tiga serbuan itu, kira-kira RM300,000 jumlah barangan berjaya dirampas antaranya empat kenderaan, 31 utas jam tangan, barangan kemas, 20 telefon bimbit, empat kamera, enam komputer riba dan empat televisyen.

“Turut dirampas, 0.29 gram syabu, 27 unit peralatan elektronik pelbagai jenis, 15 jenis dokumen pengenalan diri, 16 beg, beberapa keping bingkai nombor pendaftaran kenderaan, serta pelbagai jenis matawang tempatan dan asing,” katanya pada sidang media Isnin.

Ramli berkata enam suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau termasuklah 10 rekod jenayah yang dimiliki salah seorang suspek lelaki.

Menurutnya, lima lagi suspek termasuk seorang perempuan dikesan positif dadah jenis syabu.

“Ketiga-tiga suspek perempuan ini dipercayai teman wanita kepada suspek lelaki.

“Mereka bertindak sebagai pemerhati yang menjaga dari kawasan luar rumah dan juga di dalam kereta.

“Suspek perempuan ini juga menggunakan identiti mereka untuk menyewa kenderaan yang digunakan dalam kegiatan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata Geng Kelvin juga memiliki kemahiran membuat salinan pendua untuk kunci mangga yang dibuat serta-merta dari lokasi kejadian.

Bagi kenderaan yang dicuri, pihaknya masih menjalankan siasatan dan percaya kenderaan terbabit dijual ke Indonesia melalui Sipitang dan Lawas Sarawak.

Katanya, kesemua suspek kini direman bermula 5 hingga 11 Julai mengikut Seksyen 457 dan 379 A Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak terlibat dengan sebarang urus niaga melibatkan barangan curi.

Ia kerana katanya, membeli dan memiliki barangan curi adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra.

Advertisement