Anda di sini

Pupuk norma budaya dan tradisi pada usia muda

Advertisement
 Kumpulan tarian SMK Pujut menunjukkan gerak tari tradisional kontemporari.
KONTEMPORARI: Kumpulan tarian SMK Pujut menunjukkan gerak tari tradisional kontemporari.

NORMA budaya dan tradisi harus dipupuk dan ditanamkan pada anak-anak pada usia muda supaya mereka dapat menghargai kepentingannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, adalah penting untuk generasi muda mengetahui budaya dan tradisi dalam kelompok masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Mengetahui mengenai budaya dan tradisi akan membina keyakinan diri dan mereka mudah untuk menyesuaikan diri dengan ahli komuniti yang lain.

“Menghormati adat resam adalah asas sesuatu pembangunan walaupun seseorang itu mempunyai taraf pendidikan tinggi atau kerja yang bagus, mereka jangan sesekali melupakan asal usul masing-masing,” katanya dalam ucapan perasmian semasa Hari Warisan Budaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut, di Miri, baru-baru ini.

Dennis memuji usaha SMK Pujut dalam menganjurkan aktiviti seperti ini yang mampu membina generasi kini dan masa depan ke arah warganegara yang patuh dan ia amat penting bagi negeri dan negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

“Acara ini membolehkan pelajar mempelajari budaya pelbagai kaum dan dapat mempastikan warisan budaya akan terpelihara sepertimana kita sedia ada tinggal dalam komuniti yang harmoni.

“Saya menyeru Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) agar menganjurkan program yang dapat memperkenalkan kepada pelajar mengenai warisan budaya kebangsaan dan menyuntik perasaan cinta pada seni budaya,” katanya.

Di samping itu, Dennis turut berkongsi mengenai Akta Warisan Kebangsaan yang telah diwartakan di Parlimen pada 2005 meliputi warisan kebangsaan, warisan semula jadi dan perkara lain menyangkut kepada warisan.

“Warisan ketara termasuk tapak bersejarah; kawasan pembentukan semula jadi seperti gunung, pantai, pokok, sungai, bukit; bangunan; barang hiasan atau seni; tulisan tangan; kraf tangan pada kayu dan logam; senjata dan pelbagai lagi yang boleh dilihat mempunyai nilai tradisional.

“Warisan tidak ketara pula seperti muzik, tarian, bahasa, bunyi, amalan hidup dan pelbagai lagi dihasilkan oleh manusia dalam proses memupuk kehidupan,” katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dijalankan pada hari tersebut antaranya pertandingan busana tradisional, batu seremban, menyumpit, galah hantu dan Karaoke Gawai dan Raya.

Turut hadir Pengetua SMK Pujut Koh Chee Kiat dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Albert Bangau Pengarah.

  • oleh
  • Advertisement