Anda di sini

ILMAN bakal jadi mercu tanda institusi adat istiadat negeri Sabah

Advertisement
 Musa (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas.
SUMBANGAN RAYA: Musa (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas.

PAPAR: Projek pembinaan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) bernilai RM35 juta di Penampang sudah siap sepenuhnya dan dijangka dirasmikan pada September depan.

Bangunan yang letaknya di Kampung Kibabaig itu bakal menjadi institusi latihan kepada kakitangan Mahkamah Anak Negeri (MAN) untuk memelihara, melindungi serta menjunjung sistem perundangan anak negeri.

Ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan yang besar, bilik-bilik kuliah serta 44 bilik penginapan bertaraf hotel.

Terletak satu kilometer dari Pusat Kebudayaan Sabah, ILMAN dijangka disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) Datuk Mohamad Alamin berkata, bangunan itu bakal menjadi mercu tanda dan kebanggaan dalam usaha mengangkat martabat institusi anak negeri, khususnya untuk memelihara adat istiadat serta perundangan anak negeri di negeri ini.

Katanya, ILMAN berfungsi menentukan hala tuju sistem perundangan MAN menjadi lebih baik dan dalam masa sama dapat melatih pemimpin adat mengenai undang-undang dan adat orang asal.

“Selain meningkatkan kemahiran, ia juga menjadi platform kita ke arah menaiktaraf sistem perjawatan pegawai dan kakitangan MAN,” katanya ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kampung Melagui Batu Enam di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, selain untuk kegunaan pegawai dan kakitangan MAN, institut berkenaan juga boleh dimanfaatkan oleh jabatan dan agensi kerajaan mengendalikan kursus atau seminar.

Katanya, menjadi hasrat kerajaan membina bangunan MAN di setiap daerah di negeri ini bagi memartabatkan institusi adat istiadat anak negeri.

Ketika ini, pembinaan bangunan MAN di beberapa daerah sudah siap manakala sebahagian lagi sedang dalam pembinaan.

“Untuk itu, kita akan terus berusaha mendapatkan dana daripada Kerajaan Persekutuan dan yakin ia boleh dicapai memandangkan institusi MAN ini diiktiraf kerajaan selain daripada mahkamah sivil dan syariah,” katanya.

Mengenai rumah terbuka itu, Mohamad yang juga Adun Bongawan menyatakan rasa gembira dan terharu dengan kehadiran ribuan orang daripada pelbagai suku, kaum dan kepercayaan untuk bersama-sama meraikannya.

“Ini menggambarkan bahawa rakyat di Sabah, khususnya di Bongawan, sentiasa bersatu padu tanpa mengira agama, suku dan kaum, kerana kita sama-sama mengutamakan keharmonian.

“Amalan saling kunjung-mengunjungi ini dipraktikkan untuk semua perayaan termasuk Aidilfitri, Krismas dan Tahun Baharu Cina serta perayaan lain,” katanya sambil berharap ia terus dipertahankan.

Beliau turut meminta rakyat supaya jangan terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan kesatuan dan perpaduan sedia terjalin.

Rumah terbuka yang bermula jam 10 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran Musa selaku tetamu kehormat serta beberapa pemimpin lain.

Orang ramai disajikan dengan pelbagai juadah hari raya selain dihiburkan persembahan artis tempatan.

Advertisement