Anda di sini

21 Julai pengurusan kes duda dituduh ugut jenayah individu lain

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menetapkan 21 Julai ini untuk pengurusan kes seorang duda yang dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap seorang individu lain.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Wong Sheng Yuen, 32, dari Jalan Sibu Taman Tunku di sini telah dituduh melakukan ugutan jenayah dengan niat menakutkan Wong Ngia Heng, 61.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.30 malam, 4 Julai lalu di rumahnya di Jalan Sibu, Taman Tunku di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa manakala tertuduh tidak diwakili.

Dalam kes berasingan, seorang penganggur warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Lai Po Sen, 38, dari Pontianak, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki serta-merta menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa mennggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.55 malam, 9 Julai lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah(BSJND) Miri.

Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh yang tidak ditawarkan jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement