TAWAU: Penempatan semula penduduk terlibat kebakaran di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas perlu diperhalusi melalui perbincangan dengan kerajaan negeri, ADUN, Ahli Parlimen serta pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata perkara itu penting dalam memastikan keputusan yang dibuat mengambil kira segala aspek demi keselamatan, manfaat dan kepentingan semua pihak termasuk kawasan setinggan milik kerajaan negeri di daerah ini.
“Segala cadangan terutama sekali cadangan ahli yang berhormat di kawasan ini sudah pasti akan diberi perhatian untuk sebarang opsyen yang akan dilakukan bagi penyelesaian jangka pendek dan panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dan bantuan wang tunai kepada Ketua Isi Rumah mangsa kebakaran di Kampung Hidayat.
Menyentuh rungutan segelintir pihak yang dikatakan tidak menerima agihan bantuan, Tawfik menjelaskan segala bantuan dan sumbangan yang disalurkan menerusi pusat bantuan yang dikendalikan sekretariat di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan diagihkan secara sama rata kepada semua mangsa.
Katanya, ia termasuk keperluan barangan mentah dan sebagainya. Manakala, sumbangan yang diberikan terus kepada mangsa oleh orang perseorangan atau NGO adalah di luar bidang kuasa sekretariat berkenaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang juga ADUN Balung Datuk Seri Panglima Syed Abbas Syed Ali menasihatkan kesemua mangsa terlibat agar lebih banyak bersabar.
“Sementara, penduduk yang tidak terlibat diingatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan berwaspada supaya kejadian seumpama itu tidak berulang,” katanya.
Pada majlis itu juga, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Mary Yapp Kain Ching turut menyampaikan bantuan wang tunai kepada mangsa kebakaran.
Dalam kejadian baru-baru ini, hampir 2,000 mangsa membabitkan warga tempatan dan asing tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.15 petang.