Hakisan yang berlaku dekat Sungai Topokon semakin lama semakin luas

TUARAN: Setiap kali hujan lebat, Steven Bangu dan beberapa keluarga di Kampung Menguou yang menetap berdekatan Sungai Topokon tidak nyenyak tidur kerana takut rumah mereka runtuh akibat hakisan sungai.
Steven, 53, memberitahu setiap kali air naik, Sungai Topokon terhakis `makin lama makin luas’ sehingga penduduk yang tinggal berdekatan sentiasa gelisah kerana masalah itu sudah lama berlarutan tanpa penyelesaian.
Menurutnya, penduduk sudah mengadu kepada pihak berkuasa melalui JKKK tetapi sehingga kini mereka hanya diminta menunggu dan bersabar.
Katanya, sebelum menjadi lebih teruk akibat tebing sungai runtuh 27 Jun lepas, perkara itu sudah dikemukakan kepada pejabat daerah sejak lima tahun lepas bahkan sebelum PRU13 lagi.
“Setiap kali perkara itu dirujuk, kami diberitahu belum ada jawapan dan diminta menunggu.
“Tetapi kini, keadaan makin membimbangkan, jalan raya tidak dapat digunakan, pagar rumah rosak, tanah terhakis seluas lebih 60 kaki dihanyutkan arus setiap kali air naik melimpahi tebing,” katanya kepada Utusan Borneo pada Ahad.
“Kami harap kerajaan percepatkan bantuan bagi menghalang hakisan sungai, sama ada membina gabion atau apa saja yang difikirkan boleh mengatasi perkara itu,” katanya.
Sementara itu, Lorin Ingkap, 49, berkata hakisan sungai itu menyebabkan jalan yang menjadi laluan utama ke rumah penduduk tidak dapat digunakan lagi.
“Kalau dulu, lori 10 tan pun senang-senang masuk tetapi kini kami terpaksa turun ke sungai dan memanjat tebing untuk pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, penduduk berharap kerajaan memasang gabion atau apa sahaja yang boleh menghalang terjadinya hakisan dalam kadar yang segera.
Selama ini, tiada tindakan daripada yang berwajib, katanya. Namun begitu, beliau pernah melihat mantan ADO Tamparuli Edip Abun melawat kawasan itu sebelum beliau bersara malah baru-baru ini, penduduk pernah melihat helikopter terbang rendah tetapi mereka tidak tahu apa tujuannya.
“Kami minta buat gabion untuk mengatasi masalah hakisan itu, dan menimbus jalan raya untuk laluan alternatif penduduk kampung,” katanya.
Lin Ingkap, 46, pula meminta kerajaan membantu membaiki saluran bekalan paip yang selalu terputus akibat hakisan sungai itu.
Katanya, penduduk berharap masalah yang mereka hadapi diberikan perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
“Kami amat mengharapkan bantuan beliau agar masalah hakisan sungai ini dapat diatasi,” katanya.