Anda di sini

NCR: Mahkamah Tinggi Kuching ketepikan tuntutan penduduk 17 rumah panjang

Advertisement
 Kelihatan penduduk kampung berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Negeri menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung tuntutan ke atas NCR mereka.
TUNTUT HAK: Kelihatan penduduk kampung berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Negeri menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung tuntutan ke atas NCR mereka.

KUCHING: Mahkamah Tinggi Kuching semalam mengetepikan tuntutan penduduk dari 17 rumah panjang di Melikin, Serian ke atas dua syarikat perladangan kelapa sawit, kerajaan negeri dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) berhubung tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Alwi Abdul Wahab turut mengetepikan tuntutan kerosakan dan kerugian dibuat kedua-dua syarikat berkenaan ke atas penduduk kampung yang bernilai kira-kira RM18 juta sebagai bayaran ganti rugi.

Hakim menambah, tidak wujud bukti kukuh dikemukakan oleh syarikat-syarikat berkenaan yang membolehkan ia mendapat bayaran ganti rugi.

Plaintif kes ini ialah Luang Entiyang serta 16 yang lain dari Kampung Menyang ‘A’ Tanah Mawang, Kampung Tapang Maong, Kampung Sungai Linsat, Kampung Krangan Sungai Katak, Kampung Krangan, Kampung Semukoi, Kampung Krangan Trusan, Kampung Tekalong, Kampung Krangan Jaya, Kampung Krangan Baru, Kampung Simpang Melikin, Kampung Danau Melikin B, Kampung Emperan Melaban, Kampung Kranji Atas dan Kampung Kranji Baruh.

Defenden pertama adalah United Teamtrade Sdn Bhd manakala Memaju Jaya adalah defenden kedua.

Kerajaan negeri dan superitenden JTS masing-masing dinamakan sebagai defenden ketiga dan keempat.

Defenden ketiga dan keempat masing-masing mendapat bayaran RM5,000.

Plaintif meminta pengisytiharan bahawa mereka mempunyai tanah NCR seluas 12,500 hektar yang menjadi pertikaian namun permintaan mereka ditolak.

Permintaan mereka agar surat pajak sementara diberikan kepada syarikat-syarikat berkenaan, ditolak kerana tidak sah.

Syarikat perladangan kelapa sawit berkenaan mengemukakan tuntutan balas iaitu bayaran ganti rugi akibat tindakan penduduk membuat sekatan dan membakar beberapa jambatan yang mengakibatkan kerugian kepada syarikat-syarikat berkenaan.

Mereka turut mendakwa penduduk kampung membakar jengkaut, pondok pengawal dan rumah pekerja syarikat-syarikat berkenaan.

Advertisement