Anda di sini

Guna saluran betul untuk salur maklumat

Advertisement
 Hamisa beramah mesra dengan penduduk Kampung Kalabakan Tawau.
MESRA: Hamisa beramah mesra dengan penduduk Kampung Kalabakan Tawau.

TAWAU: Pemimpin masyarakat diminta supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat yang tersebar di media sosial dan jangan begitu mudah menularkan maklumat berkenaan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata, pemimpin masyarakat perlu mendapatkan kesahihan sesuatu maklumat yang ditularkan sebelum menyebarkan kepada masyarakat.

Beliau berkata, media sosial satu keperluan kepada masyarakat namun bukan semua perkara yang disebarkan adalah benar.

Sebagai pemimpin masyarakat dan pengguna, mereka harus menggunakan media sosial ini untuk kebaikan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Mini Kampung Kalabakan.

Program merupakan anjuran Unit PMM Tanjong Batu dan Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pantai Timur dengan kerjasama Persatuan Belia Kalabakan.

Hamisa yang juga ADUN Tanjong Batu mengingatkan pemimpin masyarakat agar menggunakan media sosial secara lebih bertanggungjawab dan untuk membantu mereka meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada masyarakat.

Katanya, media sosial harus digunakan untuk menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat serta memperoleh maklum balas daripada mereka bagi membolehkan tindakan pantas dapat ambil bagi menyelesaikan sebarang masalah.

Dunia sekarang tidak lagi seperti dahulu dan tidak boleh lari daripada media sosial. Saya harap kita gunakan sebaik-baiknya media sosial ini.

Bukannya untuk terlibat dalam menularkan benda yang tidak ada kesahihannya. Janganlah kita terlibat dalam perkara sedemikian,” katanya.

Beliau juga meminta masyarakat supaya lebih berhati-hati dan bijak menggunakan media sosial dengan memanfaatkannya hanya untuk kebaikan kepada diri, masyarakat dan negara.

Advertisement