Anda di sini

Tamu Khas Miri, lubuk rezeki bagi peniaga masyarakat Kayan

Advertisement
 Tamu Khas Miri.
LUBUK REZEKI: Tamu Khas Miri.
 Rosnah (dua kanan) bersama ahli keluarga memilih nanas untuk dibeli.
BOLEH PILIH: Rosnah (dua kanan) bersama ahli keluarga memilih nanas untuk dibeli.

DIANGGARKAN sekitar 10,000 masyarakat Kayan, baik dari Baram mahupun Belaga telah berhijrah ke bandar raya Miri.

 Menurut Presiden Persatuan Kayan Sarawak (PKS) yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, angka itu bagaimanapun adalah merupakan anggaran sahaja.

 Beliau percaya jumlah sebenar adalah lebih daripada itu kerana kini kebanyakannya berhijrah ke Miri atas komitmen pekerjaan, mencari rezeki dan persekolahan.

 Ada sesetengah memilih bidang perniagaan kecilkecilan seperti berniaga di tamu-tamu yang terdapat di bandar raya Miri untuk menambah pendapatan bulanan.

 Salah satu pusat penjaja yang cukup popular dan terletak di pusat bandar raya Miri, selain Tamu Muhibbah dan Tamu Kedayan, adalah Tamu Khas.

 Tamu Khas itu dikongsi sama oleh masyarakat Kayan, Kenyah, Iban, Melayu dan Kelabit, antara lain, untuk samasama mencari rezeki.

 Semangat muhibah dan setiakawan terpancar di wajah masing-masing dalam persaingan mencari rezeki.

 Setiap peniaga disediakan satu meja atau lot dengan bayaran sebanyak RM30 sebulan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM).

 Ubong Jok, berketurunan Kayan, 66, mula berjinak-jinak dengan perniagaan ini setelah tidak mampu lagi mengusahakan tanah di kampung halamannya iaitu Kampung Long Panai, Tutoh Baram.

 Beliau memulakan perniagaannya pada tahun 1991 dengan menjual hasil-hasil hutan dan kraf tangan yang dibuat sendiri.

 Bertitik tolak dari situ, beliau berasakan bidang berkenaan boleh dijadikannya sebagai sumber rezeki selagi mampu.

 Beliau kemudian menambahkan jualan dengan menambah beberapa barang jualan seperti beras, garam bukit, biji benih sayuran kampung, pisang, buah pinang, barangan kraf tangan dan sebagainya.

 “Sudah 26 tahun saya berniaga di sini, bermacam-macam ragam mahupun gelagat peniaga, pelanggan ataupun orang ramai dapat saya saksikan.

 Kebanyakan peniaga di sini sudah kenal antara satu sama lain,” kata Ubong.

 Menurut Ubong, beras Bario adalah salah satu produk jualannya yang menjadi pilihan utama pengunjung dari luar Miri mahupun dari Semenanjung Malaysia termasuk dari negara jiran, Brunei Darussalam untuk dijadikan buah tangan ataupun kegunaan sendiri.

 “Seorang guru dari Lawas, Wahidah Abdullah, merupakan seorang pelanggan tetap saya.

 Biasanya dia akan membeli beras Bario dalam kuantiti banyak untuk kegunaan sendiri mahupun dipesan oleh rakan-rakan guru di sekolahnya.

 Beras ini menjadi pilihan kerana rasanya sangat enak,” tambah Ubong.

 Suaminya Wan Anyie, yang turut sama membantu memberitahu, hasil jualan pada peringkat permulaan dahulu adalah amat memberangsangkan sehingga adakalanya kehabisan sumber.

 Bagaimanapun kini, hasil jualan agak merosot mungkin disebabkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

 “Rezeki tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha mencari dan mendapatkannya.

 Janganlah berasa takut dan segan mencuba sesuatu bidang perniagaan jika hendak berjaya,” kata Wan.

 Pasangan dikurniakan tiga cahaya mata itu berasa selesa berulang-alik ke tamu berkenaan menggunakan perkhidmatan bas dari rumah mereka di Senadin yang memakan masa lebih kurang sejam setiap hari.

 Sementara itu, salah seorang penjual nanas di tamu ini yang sempat ditemui memberitahu, jualan nanas akan bertambah pada musimmusim perayaan.

 Madang Laing, 55, berasal dari Kampung Long Sepiling, Tinjar Baram telah berniaga di sini sejak tahun 2002.

 Madang yang menjual sendiri nanas hasil titik peluh sendiri memberitahu, salah satu masalah yang dihadapi di tamu ini adalah kekurangan lot atau petak (meja) untuk peniagapeniaga yang ingin menjual hasil mereka.

 “Ramai yang telah memohon lesen ataupun permit daripada Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk berniaga tetapi tidak kesemuanya diluluskan.

 Kami kadang-kadang terpaksa berkongsi tempat berniaga.

 Kalau boleh sediakan banyak lagi meja supaya kami dan rakanrakan yang lain dapat menjual nanas masingmasing,” kata Madang.

 Rosnah Idris, seorang pelanggan dari negara jiran Brunei Darussalam yang ditemui sedang membeli nanas memberitahu sering datang ke sini untuk membeli nanas dan beras sebagai buah tangan untuk dibawa balik ke negaranya.

 Beliau memberitahu sering datang ke Miri kerana mempunyai ahli keluarga di sini.

 Sementara itu, seorang peniaga wanita berketurunan Kelabit yang sudah begitu fasih berbahasa Kayan dari Long Bedian, Bariat Uding, 67, turut sama-sama mencari rezeki di sini.

 Bariat yang sudah 10 tahun berniaga di sini menjual beras, belacan, pisang dan sebagainya memberitahu beliau sering tidur di sini kerana tidak mahu berulang-alik setiap hari.

 Beliau sebelum ini pernah berniaga di Tamu Krokop selama 29 tahun.

 Rata-rata peniaga di sini mengharapkan agar pihak berwajib mengambil langkah keselamatan di tamu ini memandangkan kes-kes kecurian sering berlaku.

 Selain itu mereka juga berharap agar lawatan daripada pihak berwajib dilakukan lebih kerap untuk memastikan keselamatan mahupun kebersihan tempat ini terjaga dan seterusnya menarik lebih ramai lagi pelanggan untuk berkunjung.

  • oleh
  • Advertisement