Anda di sini

Wanita dipenjara dan denda atas 13 pertuduhan menipu

Advertisement

SIBU: Mahkamah di sini kelmarin menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap seorang wanita atas 13 pertuduhan menipu membabit wang berjumlah RM89,473.

Tertuduh, Normah Abdul Ghani, 49, terdahulu dijatuhkan hukuman setahun penjara dan denda RM1,000 atau lima bulan penjara bagi setiap pertuduhan yang dibaca mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Normah yang memohon menjalani hukuman penjara tersebut di Perak, turut diperintah menjalani hukuman penjara itu secara serentak.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Ujai Matu dengan memperdayakan mangsa mempercayai bahawa terdapat perniagaan kedai kopi di Perak dan meminta mangsa membayar sejumlah wang untuk menjadi rakan kongsi perniagaan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 20 April, 2014 hingga 15 Januari, 2015, bertempat di sebuah bank di sini, melibatkan wang berjumlah RM89,473.

Berdasarkan fakta kes, pada bulan April, 2014, mangsa yang berada di Papua New Guinea telah mengenali seorang wanita iaitu tertuduh di laman sosial WeChat.

Semasa berhubung dengan wanita tersebut, dia telah menawarkan kepada mangsa untuk menjadi rakan kongsi bagi satu perniagaan kedai kopi di Perak.

Setelah mendapat persetujuan dan kata sepakat, wanita terbabit mengatakan akan mengurus segara urusan dan perjalanan perniagaan dan mangsa hanya perlu menyalurkan wang bagi membiayai perniagaan mereka itu.

Setelah mangsa balik ke Sibu, tertuduh telah meminta mangsa untuk datang ke Perak untuk berkahwin dengannya, seterusnya menjalankan perniagaan bersama-sama.

Mempercayai akan kata-kata tertuduh, mangsa telah memasukkan wang ke akaun sebuah bank milik anak tertuduh bagi tujuan pembiayaan perniagaan itu. 

Pada bulan Mei, 2014, mangsa juga mengirimkan telefon bimbit bernilai RM1,800 dan jam tangan jenama Polo bernilai RM600 kepada tertuduh.

Pada 24 Januari, 2015, mangsa menghubungi tertuduh tetapi talian telefon yang digunakan tidak lagi aktif. Mangsa juga menghubungi tertuduh menggunakan WeChat tetapi akaun WeChat mangsa juga tidak aktif.

Berasa diri tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis,  membawa kepada penahanan tertuduh di Kampar, Perak.

Hasil siasatan dijalankan, tertuduh menerima wang berjumlah RM89,473 daripada mangsa sebanyak 13 kali melalui akaun bank milik anak tertuduh.

Perniagaan kedai kopi dijanji tertuduh juga tidak pernah wujud. Rakaman kamera litar tertutup juga menunjukkantertuduh mengeluarkan wang tersebut melalui mesin ATM di Kampar, Perak.

Advertisement