Anda di sini

SESB perlu tegas di kawasan setinggan

Advertisement

TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu bertindak tegas dalam menangani kegiatan mencuri bekalan elektrik di kawasan perumahan setinggan di negeri ini, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat.

Beliau berkata, penyambungan elektrik secara haram menggunakan pelbagai teknik menjadi punca kepada kebakaran besar yang berlaku pada setiap tahun di negeri ini dengan kes terbaharu melibatkan 261 rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas dekat sini, Sabtu lepas.

“Insiden ini sepatutnya cukup memberi pengajaran kepada semua pihak dan pihak SESB perlu mengawal kegiatan mencuri bekalan elektrik yang semakin berleluasa,” katanya.

Hamisa, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Tanjong Batu berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan beras di pusat operasi bantuan untuk mangsa kebakaran Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar sikap tidak bertanggungjawab sesetengah penduduk kampung yang mencuri bekalan elektrik sehingga menimbulkan kesusahan kepada pengguna elektrik berdaftar yang lain.

“Sedarlah tentang bahaya melakukan sambungan elektrik haram sehingga mendatangkan masalah dan beban kepada orang lain, jangan penting diri dan jadilah manusia bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Hamisa turut mengulangi saranan agar setiap rumah disediakan sebuah alat pemadam api dan sekiranya berlaku kebakaran masih boleh dikawal dengan pantas.

“Kalau kita boleh beli barang lain kenapa alat pemadam api kita tidak mampu beli, sedangkan benda itu (alat pemadam api) diperlukan untuk keselamatan rumah,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lepas, sebanyak 261 buah rumah atas air musnah mengakibatkan 1,960 orang tinggal sehelai sepinggan. — Bernama

Advertisement