
KOTA KINABALU: Sebanyak 15 sekolah menengah dan 15 sekolah rendah akan merebut piala khas program Tugu Budaya Etnik Sabah–Festival Tarian Rakyat Belia Kebangsaan Kelapan pada 17 hingga 24 Julai ini.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, yang juga pengerusi penganjur, Datu Rosmadi Datu Sulai berkata sekolah berkenaan, termasuk dari Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Labuan, akan berentap di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang dekat sini.
“Ini adalah program kerajaan negeri untuk menerajui pembangunan dan promosi kebudayaan dan kesenian terutamanya dalam kalangan generasi muda.
“Objektif utamanya untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan budaya dan menggalakkan tarian rakyat dari pelbagai etnik,” katanya pada sidang berita mengenai festival itu di sini, semalam.
Festival berkenaan akan diserikan dengan persembahan khas Vitminki dari Rusia, Color of Indonesia dari Indonesia dan Tarlac National High School dari Filipina.
Selain itu, tugu ‘Sining Dazanak’ masyarakat Kadazandusun akan menjadi maskot bagi festival itu.
Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) Tan Sri Wences Anggang berkata ukiran tugu kayu menyerupai kanak-kanak itu diletak di sawah padi sebagai tanda pemilik kawasan itu tidak mempunyai anak, selain memaklumkan kepada orang ramai bahawa sawah padi itu mempunyai pemilik.
Pengurus Besar LKNS William Baya pula berkata tugu itu juga melambangkan kemegahan budaya yang mana rakyat di negeri ini mahu mengukuhkan hubungan dalam kebudayaan. — Bernama