Anda di sini

Penyelamat Jepun bergegas cari 22 hilang dalam banjir

Advertisement
 Seorang anggota penyelamat berjalan di atas serpihan kayu yang dihanyutkan hujan lebat ketika operasi mencari orang hilang berhampiran sebuah rumah yang rosak akibat banjir besar di daerah Yamada di Asakura, wilayah Fukuoka, Jepun semalam. — Gambar Reuters
PENCARIAN SUKAR: Seorang anggota penyelamat berjalan di atas serpihan kayu yang dihanyutkan hujan lebat ketika operasi mencari orang hilang berhampiran sebuah rumah yang rosak akibat banjir besar di daerah Yamada di Asakura, wilayah Fukuoka, Jepun semalam. — Gambar Reuters

ASAKURA: Anggota penyelamat bergegas mencari lebih 20 yang hilang selepas banjir besar melanda selatan Jepun pada minggu ini, meragut enam nyawa dan meninggalkan kemusnahan besar.

Sungai deras yang berlimpahan dengan air dan lumpur memusnahkan beberapa kawasan di Kyushu – pulau paling selatan di antara empat pulau utama di Jepun – selepas hujan lebat, yang merosakkan jalan dan rumah selain me-musnahkan sekolah.

Ribuan penyelamat mengharungi lumpur tebal dan hujan untuk mencari orang yang hilang dan terkandas, dengan lebih 1,100 dipercayai ter-putus hubungan, lapor badan penyiaran awam NHK.

Kerajaan semalam berkata enam terbunuh manakala 22 lagi tidak dapat dikesan.

Rakaman NHK menunjukkan penyelamat menge-luarkan mayat seorang mangsa dari sebuah rumah yang rosak selain jentera berat yang mengalih batu dan tanah untuk membersih jalan.

Beberapa pokok yang tumbang kelihatan menimpa rumah di kota Asakura dalam wilayah Fukuoka yang teruk terjejas dan menyaksikan hujan selebat 50 sentimeter turun dalam tempoh 12 jam sehingga malam kelmarin.

Kenderaan juga kelihatan terbalik atau tertimbus dalam lumpur manakala tebingan sungai yang telah diperkukuh-kan turut dimusnahkan oleh air deras. Trak tentera dan kenderaan penyelamat bersaing untuk ruang di jalan-jalan di bandar berkenaan.

NHK berkata pihak berkuasa tempatan menghantar helikopter untuk mengambil orang dari tempat terpencil, dan menunjukkan rakaman usaha menyelamatkan warga emas yang terkandas.

Ia menambah pihak berkuasa tempatan bergegas untuk memulihkan akses ke bahagian yang terputus hubungan disebabkan oleh tanah runtuh dan banjir.

Di kota Hita berdekatan dalam daerah Oita, Masayoshi Arakawa berkata dia pernah mengalami hujan lebat pada masa lalu tetapi hujan pada tahun ini tidak dijangkakan.

“Beberapa tahun lalu, saya tidak ada masalah, jadi saya fikir keadaan akan seperti itu lagi lalu saya memutuskan untuk bermalam di rumah saya semalam,” katanya kepada AFP lewat kelmarin di sebuah pusat pemindahan.

“Tetapi apabila saya keluar untuk melihat keadaan di luar, saya menjadi takut.”

Jurucakap utama kerajaan, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga, memberitahu satu sidang akhbar kira-kira 12,000 anggota polis, tentera, bomba dan pengawal pantai menyertai operasi menyelamat.

Sehingga kelmarin mereka sudah mengeluarkan 522, dan 15 lagi semalam.

“Hujan lebat diramal terus turun sekejap-sekejap,” kata Suga dan pada waktu yang sama meminta semua terus berwaspada.

“Saya mahu orang dalam zon bencana untuk memberi sepenuh perhatian kepada maklumat perpindahan.”

Di Hita, Katsuko Noda juga adalah di antara mereka yang terpaksa meninggalkan kediamannya.

“Seorang jiran datang untuk melihat saya dan memberitahu saya kejadian tanah runtuh telah berlaku dan air mungkin akan sampai kepada kami, lalu saya mengambil beg saya tanpa berlengah lagi dan saya datang ke sini untuk mencari perlindungan,” kata Noda kepada AFP di pusat evakuasi.

Amaran hujan lebat dan tanah runtuh masih berkuat-kuasa semalam. Agensi Meteorologi Jepun berkata ia menjangkakan hujan selebat 25 sentimeter dalam tempoh 24 jam sehingga pagi ini (Sabtu).

“Disebabkan oleh hujan lebat berterusan, kawasan itu menyaksikan risiko tanah runtuh yang semakin serius,” kata agensi cuaca itu, dan menambah beberapa kawasan di utara Kyushu mengalami hujan “luar biasa”. — AFP

Advertisement