Anda di sini

Nelayan kritikal ditikam rakan sekerja ketika mabuk di atas kapal

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang bekerja sebagai nelayan berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki ditikam dengan sebilah pisau oleh rakan sekerjanya di atas sebuah  kapal nelayan di Kampung Lok Poring, Selasa lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa berumur dalam lingkungan awal 30-an dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu mengalami enam kesan luka tikaman pada tubuhnya.

“Mangsa mengalami kecederaan (parah) pada bahagian belakang badan dan lengan kiri serta masih berada dalam keadaan kritikal dan telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut,”kata Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra dalam kenyataan semalam.

Menurut M. Chandra sebelum kejadian, mangsa bersama suspek yang juga tidak memiliki pengenalan diri dan dua lagi rakan mereka berada di atas kapal nelayan itu dan meminum minuman keras, kira-kira jam 6 petang.

Katanya, suspek yang mabuk secara tiba-tiba bertindak agresif lalu menampar rakan sekerjanya yang lain.

Apabila perbuatannya itu ditegur mangsa, suspek bertindak masuk ke dalam bilik di atas kapal berkenaan dan keluar membawa sebilah pisau lalu menyerang mangsa, kata M.Chandra.

Menurut M.Chandra, atas maklumat orang awam, suspek berjaya ditangkap di sebuah stesen minyak di Likas pada 5 Julai lalu, kira-kira jam 11.45 pagi. — Bernama

Advertisement