Anda di sini

Guru serang guru besar diarah dengar pertuduhan mahkamah

Advertisement

SIBU: Seorang guru wanita yang mencurahkan air panas terhadap seorang guru besar sebuah sekolah rendah di Jalan Lebaan, diperintah agar di hadapan di mahkamah bagi mendengar pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Pada 26 Jun lepas, Mahkamah Majistret memerintahkan tertuduh hanya dikenali sebagai Kong, 49, menjalani pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Sentosa, Kuching.

Bagaimanapun arahan itu dibatal Mahkamah Tinggi di sini semalam yang mengarahkan tertuduh dikeluar dari Hospital Sentosa serta menetapkan tarikh bagi kes disebut semula di Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan, Kong didakwa pada 16 Jun, 2017, jam lebih kurang 10.30 pagi bertempat di hadapan kelas Tahun 4 sebuah sekolah rendah di Jalan Lebaan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada guru besar sekolah terbabit dengan menyimbah mangsa dengan air panas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua hukuman jika sabit dengan kesalahan.

 Berdasarkan laporan sebelum ini, guru besar sekolah rendah berusia 40 tahun terbabit dikatakan sedang membuat pemantauan sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas tertuduh.

Melihat guru besar terbabit memasuki kelasnya, tertuduh berasa tidak puas hati dan bertindak mempersoalkan kehadiran mangsa (guru besar) yang membuat pemantauan secara mengejut.

 Tertuduh difaham menjadi agresif serta bertindak mengejar guru besar yang hendak keluar dari kelas, sebelum menyimbah air panas dari gelas yang dipegangnya.

Akibat terkena simbahan air panas, mangsa mengalami lecur di bahagian lengan kiri dan belakang badan sebelah kiri serta calar di betis kiri.

Guru wanita terbabit tidak berpuas hati turut dipercayai cuba memendang mangsa, namun berjaya dielak mangsa.

Advertisement