Anda di sini

Usaha SMK Tansau tubuh taska perlu dicontohi

Advertisement
 Jainab (dua kiri) bersama Siti Salmiah (kiri) melawat tapak gerai jualan pelajar pada majlis itu.
BAKAL USAHAWAN: Jainab (dua kiri) bersama Siti Salmiah (kiri) melawat tapak gerai jualan pelajar pada majlis itu.

PENAMPANG: Usaha murni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau menubuhkan taska perlu dijadikan sebagai contoh terbaik.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata taska yang dinamakan Taska Semesta itu juga yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Menurutnya, penubuhan taska di sekolah menengah banyak memberi kemudahan kepada guru-guru dan pihak sekolah.

Langkah berkenaan jelasnya, bukan sahaja menjaga kebajikan guru malah menjadi contoh kepada organisasi dan agensi kerajaan lain supaya menubuhkan taska untuk kemudahan pekerja masing-masing.

Dari segi jangka masa panjang, penubuhan taska dilihat sebagai satu usaha mengeratkan hubungan antara anak-anak dengan ibu bapa walaupun berada di tempat kerja.

Taska Semesta kini mempunyai seramai 14 kanak-kanak dari umur satu hingga empat tahun dan dikawal selia oleh tiga pekerja.

Justeru, ia dianggap sebagai satu perkhidmatan yang efisien bagi sebuah sekolah yang mempunyai kemudahan taska,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Sekolah (HKS) Kali Ketiga Peringkat SMK Tansau, di sini, kelmarin.

Jainab berkata kejayaan penubuhan Taska Semesta di SMK Tansau membuktikan segala usaha gigih dan hasil kerjasama yang baik warga sekolah berkenaan.

Selain itu katanya, usaha sekolah dalam memacu kecemerlangan koperasi juga salah satu alternatif yang baik untuk menambah sumber kewangan sekolah.

Menurutnya, sekolah tidak boleh terlalu bergantung kepada peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan memandangkan keadaan ekonomi ketika ini kurang memberangsangkan.

Sehubungan itu, beliau melihat peranan koperasi untuk membiayai segala kos aktiviti pelajar sememangnya satu langkah yang perlu dicontohi oleh sekolah-sekolah lain.

Mengadakan HKS amat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkasakan gerakan koperasi sekolah.

Ilmu berkaitan koperasi mestilah diterapkan kepada pelajar dan dijadikan asas kukuh kepada pengurusan koperasi.

Koperasi sekolah juga perlu mencanangkan kewujudan dan peranan koperasi agar dapat menggembleng penyertaan yang menyeluruh dari warga sekolah,” jelasnya.

Turut hadir, Pengetua Cemerlang SMK Tansau Siti Salmiah Samaie dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Abidin Marjan.

Advertisement