Anda di sini

SIDC perkenal Rangka Kerja Kecekapan Industri baharu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) memperkenalkan Rangka Kerja Kecekapan Industri (ICF) baharu untuk mempertingkatkan lagi daya saing industri susulan landskap global yang semakin mencabar.

 Dalam kenyataan semalam, SIDC, badan pembelajaran dan pembangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, berkata, rangka kerja baharu itu merupakan panduan universal bagi keupayaan kecekapan untuk profesional pasaran modal.

 Terdiri daripada 58 tajuk kecekapan dan meliputi 105 peranan kerja, ICF merupakan rangka kerja kecekapan menyeluruh pertama untuk pasaran modal Malaysia, menurutnya.

 SIDC berkata, pada masa depan, ICF akan menjadi asas kepada pembangunan program kelayakan yang diselaraskan dengan kecekapan serta latihan untuk pasaran modal, termasuk Kelayakan Profesional Pasaran Modal SIDC yang akan bermula akhir tahun ini.

 ICF menggariskan pengetahuan, kemahiran dan nilai diperlukan untuk peranan yang relevan di bawah aktiviti pasaran modal dikawal selia, dengan kumpulan petunjuk dan kriteria penilaian spesifik.

 Antara ciri utama rangka kerja itu ialah Kamus Kecekapan, kaedah yang menerangkan kecekapan teras berkaitan peranan khusus, serta keperluan tahap kecekapan berkaitannya.

 “Rangka kerja itu dijangka memperluaskan lagi kurikulum Pendidikan Profesional Lanjutan, program pengetahuan teknikal, kemahiran dan etika yang wajib untuk golongan profesional pasaran modal, iaitu akan termasuk kecekapan tingkah laku seperti kemahiran pengurusan kendiri, kemahiran pengurusan manusia dan kemahiran kepimpinan organisasi,” menurut SIDC. — Bernama

Advertisement