Anda di sini

Mahkamah tetapkan pengurusan kes saman fitnah Ismail Sabri 11 Julai

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 11 Julai bagi pengurusan kes saman fitnah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap sebuah syarikat penerbitan akhbar dan seorang lagi berhubung penerbitan tiga artikel berkaitan hidangan telur penyu dalam satu majlis di Sabah dua tahun lepas.

Ismail Sabri selaku plaintif juga adalah ahli Parlimen Bera, Pahang, memfailkan saman itu melalui Tetuan Kesavan pada Mac 2017 menamakan syarikat penerbitan Sabah Publishing Sdn Bhd dan Pengarang Daily Express James Sarda sebagai defendan pertama dan kedua.

Media memperoleh dokumen berkenaan melalui carian fail semalam.

Dalam penyataan tuntutannya, Ismail Sabri mendakwa bahawa defendan telah dengan salah dan berniat jahat menerbitkan tiga artikel di akhbar Daily Express  bertajuk ‘Minister and Sabah YB have yet to comply: Dept’  bertarikh 24 Jan 2016, ‘Beluran turtle eggs dinner: Findings left to the AG’ pada 3 Sept 2016, dan ‘Explain ‘turtle egg’ confusion first, Lim tells Minister’  pada 6 Sept 2016.

Beliau juga mendakwa defendan telah menerbitkan tiga artikel pada tarikh berbeza yang antara lain dalam makna biasa dan/atau merujuk kepadanya bahawa plaintif mengelak tanggungjawab, tidak menghormati prinsip undang-undang, melanggar undang-undang dan tidak mempedulikan proses siasatan.

Ismail Sabri mendakwa bahawa kata-kata fitnah itu tidak benar, tidak berasas, berniat jahat serta merosakkan reputasinya sebagai pemimpin rakyat, sehubungan itu beliau memohon defendan mengemukakan pengakuan maaf serta menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Plaintif turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan artikel sama pada masa depan.

Defendan-defendan dalam penyataan pembelaan yang difailkan melalui Tetuan Bhag Sulaiman & Co menafikan telah mencetak dan menerbit artikel itu atau menyebabkannya dicetak dan diterbitkan dengan salah dan niat jahat.

Mereka mendakwa bahawa bahan-bahan yang disiarkan adalah diterbitkan dalam keadaan perlindungan bersyarat tanpa niat jahat dan penuh kepercayaan mengenai apa yang disiarkan. — Bernama

Advertisement