Anda di sini

Jamal kemuka representasi kedua teliti pertuduhan guna kekerasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan sembilan pengikutnya yang didakwa menggunakan kekerasan dalam satu kejadian di Ampang Point, November lalu mengemukakan satu lagi representasi kepada Pejabat Peguam Negara bagi meneliti pertuduhan ke atas mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan kepada Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali di Mahkamah Majistret Ampang hari ini bahawa pendakwaan  menerima representasi tambahan itu kelmarin.

Terdahulu Norhashimah berkata pihaknya belum menerima keputusan representasi terdahulu yang dikemukakan Jamal dan sembilan pengikutnya dan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk mendengar keputusan kedua-dua representasi itu.

Mohamad Firdaus kemudian menetapkan 9 Ogos untuk mendengar keputusan kedua-dua representasi itu.

Di luar mahkamah, Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Jamal dan sembilan lagi tertuduh memberitahu pemberita mereka mengemukakan representasi kedua itu bagi mendapatkan tawaran terhadap pengakuan bersalah bagi mengurangkan hukuman.

Selepas itu jika representasi ditolak, mungkin diteruskan dengan bicara atau kes digugurkan dan sebagainya, bergantung kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Sementara itu Jamal yang memakai kot hitam dan bersongkok memberitahu beliau menaruh harapan kes itu diselesaikan dengan segera.

Pada 13 April lalu, Jamal, 47, bersama Reza Jamin, 37, Ariffin Abu Bakar, 47, Mohd Shabudin Abu Hassan, 47, Izzrul Idris, 32, Hasannen Zikri Harizan, 24, Mohd Faiz Amirul Mahsan, 22, Mohd Yusoff Mohd Sharif, 26, Abd Razak Hassan, 29, dan R. Balaguru, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Kesemua mereka didakwa sebagai anggota satu kumpulan perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama telah menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang.

Mereka  dituduh melakukan kesalahan itu di dalam bangunan pusat beli-belah Ampang Point, Ampang Jaya pada 4 petang, 13 Nov 2016 mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu bertindak agresif dengan cara merempuh halangan pihak polis bagi tujuan membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan pada masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Nov 2016, Jamal membuat laporan polis selepas mendakwa dia ditumbuk hingga menyebabkan hidungnya berdarah di pusat beli-belah  Ampang Point itu.

Kejadian itu berlaku ketika Jamal bersama 150 pengikutnya bertembung dengan kumpulan baju kuning yang diketuai Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin ketika kumpulan itu sedang mengedar risalah berhubung perhimpunan BERSIH. — Bernama

Advertisement