Anda di sini

KP Imigresen ada kuasa sekat orang ke luar negara: Mahkamah Rayuan

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam memutuskan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai kuasa untuk menyekat seseorang daripada membuat perjalanan ke luar negara tanpa memberi sebarang sebab.

Hakim Tan Sri Idrus Harun berkata, kebebasan yang dijamin Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak termasuk hak seseorang warganegara untuk membuat perjalanan ke luar negara.

Pasport merupakan suatu keistimewaan yang diberi kerajaan kepada seseorang warganegara, tetapi bukan sebagai hak seseorang warganegara untuk membuat perjalanan ke luar negara.

Pasport tetap kekal sebagai hak milik kerajaan Malaysia dan kerajaan boleh membatalkan dokumen perjalanan itu,” katanya.

Idrus mempengerusikan panel Mahkamah Rayuan tiga anggota yang menolak rayuan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua untuk mengetepikan keputusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia menyekatnya daripada membuat perjalanan ke luar negara.

Dalam keputusan beliau, Idrus berkata istilah kebebasan peribadi mengikut Perkara 5 hanya terhad kepada membuat bantahan terhadap pihak berkuasa kerana menyekat dengan cara yang menyalahi undang-undang.

Katanya, Pua tidak mempunyai hak untuk didengari mengikut Akta Imigresen 1959 dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia tidak terikat dengan tanggungjawab untuk menyatakan sebab beliau menyekat perjalanan itu.

Pasport perayu tidak ditarik balik. Sekatan itu bukan untuk selama-lamanya,” kata beliau.

Panel itu turut dianggotai hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Kamardin Hashim.

Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Pua untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia menyekatnya daripada membuat perjalanan ke luar negara.

Pua, 44, mendakwa beliau dihalang daripada meninggalkan negara ini di klia2 pada 2 Julai 2015. Setiausaha publisiti DAP kebangsaan itu berkata beliau sepatutnya pergi ke Yogyakarta pada hari berkenaan dengan menggunakan pasportnya yang sah hingga 23 April 2020.

Walaupun sekatan terhadap Pua ditarik balik pada 20 Mei tahun lepas, beliau mengemukakan rayuan itu bagi menuntut ganti rugi dan mahu agar mahkamah menentukan had kuasa ketua pengarah jabatan berkenaan.

Mohd Zawawi menggesa peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pua supaya membawa perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan bagi membuat penentuan tentang isu perlembagaan melibatkan Perkara 5.

Mahkamah juga memerintahkan tiada kos perlu dibayar kepada kerajaan kerana ia berpendapat perkara itu merupakan kes yang melibatkan kepentingan awam.

Selepas keputusan itu diumumkan, Gobind Singh memberitahu pemberita beliau akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu dalam tempoh 30 hari memandangkan terdapat persoalan serius mengenai perundangan yang perlu dikemukakan. — Bernama

Advertisement