Anda di sini

China pelawa pakar kanser asing rawat Liu

Advertisement
 Penunjuk perasaan memaparkan poskad yang ditujukan buat Liu (gambar pada kad) di luar Pejabat Pos Umum di Hong Kong, semalam. — Gambar AFP
NYATAKAN SOKONGAN: Penunjuk perasaan memaparkan poskad yang ditujukan buat Liu (gambar pada kad) di luar Pejabat Pos Umum di Hong Kong, semalam. — Gambar AFP

SHENYANG: Hospital di China yang merawat penerima Anugerah Nobel yang menghidap kanser Liu Xiaobo telah membuat keputusan untuk mempelawa pakar-pakar Amerika Syarikat (AS), Jerman dan asing lain untuk merawatnya di China ekoran tekanan antarabangsa untuk membenarkannya pergi ke luar negara.

Biro undang-undang Shenyang – bandar raya timur laut di mana Liu sedang menerima rawatan – menyebut dalam satu kenyataan semalam bahawa pelawaan itu dibuat “atas permintaan” keluarga Liu.

China sebelum ini berdepan dengan seruan global untuk memberi pilihan kepada Liu menerima rawatan di seberang laut sejak ia muncul pada bulan lepas bahawa dia dipindahkan dari penjara ke hospital selepas dia dikesan menghidap kanser hati yang boleh membawa maut.

Beijing dikritik kumpulan hak asasi manusia kerana layanan terhadap Liu dan menunggu sehingga sakit tenat untuk mengeluarkannya dari penjara.

Namun pihak berkuasa menegaskan penerima Nobel berusia 61 tahun itu telah menerima rawatan terbaik dari doktor kanser terkemuka di China di Hospital No.1 Universiti Perubatan China di Shenyang.

Liu dijatuhi hukuman penjara 11 tahun pada 2009 atas pensabitan subversif selepas menuntut reformasi demokrasi.

Pelawaan kepada pakar asing dibuat setelah Presiden China Xi Jinping tiba di Berlin kelmarin untuk lawatan rasmi dan sidang kemuncak G20 di Hamburg Jumaat lepas.

Jurucakap kerajaan Jerman Steffen Seibert berkata Isnin lepas Berlin berharap Liu akan mendapat segala sokongan perubatan yang diperlukan dan penyelesaian kemanusiaan bagi Liu Xiaobo harus menjadi keutamaan tertinggi.

Duta AS baharu ke Beijing, Terry Branstad, berkata pada minggu lepas beliau ingin melihat Liu diberi peluang untuk menerima rawatan di luar negara.

Rakan-rakan Liu dan isterinya Liu Xia bimbang penentang itu mungkin ada masa beberapa bulan sahaja untuk hidup dan berkata pasangan itu mahu beliau pergi ke luar negara.

Seorang aktivis terkemuka di Beijing, Hu Jia, memberitahu AFP bahawa rawatan Liu bertujuan untuk mengurangkan kesakitan dan membantunya hidup lebih lama.

Mungkin beliau masih dapat hidup selama enam bulan.

Namun ia adalah sukar untuk mengubah kesudahan bahawa seorang pemenang Hadiah Keamanan Nobel mati disebabkan oleh penindasan CPC (Parti Komunis China),” katanya.

Biro undang-undang Shenyang Isnin lepas berkata, Liu yang kini menyaksikan penyakit kansernya yang sudah merebak ke bahagian badannya yang lain, menerima kemoterapi dan ‘ubat paling maju’ untuk merawat kanser hati.

Beliau turut menerima ubat-ubatan tradisional China sebagai satu rawatan tambahan, jelas biro tersebut, yang menambah keluarganya berpuas hati dengan penjagaan yang diterima dan menyuarakan penghargaan mereka. — AFP

Advertisement