Anda di sini

Lima ditahan kerana bergaduh semasa majlis perkahwinan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima suspek lelaki dan memburu lima yang lain kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan ketika majlis perkahwinan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Melati, Gombak, Setapak, Sabtu lepas. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP Ramli Kasa berkata kesemua suspek yang dalam lingkungan umur 30 sehingga 40 tahun itu ditahan kelmarin bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ini menjadikan keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini seramai enam orang termasuk seorang yang ditahan pada hari kejadian, katanya kepada Bernama semalam.

Katanya, lima lagi suspek itu sedang diburu setelah polis mengenal pasti  penglibatan mereka dalam kejadian itu berdasarkan soal siasat dengan kesemua suspek yang ditahan, katanya. 

Ramli berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan membawa senjata.

Majlis perkahwinan itu terganggu selepas berlaku pergaduhan antara penduduk dengan sekumpulan penunggang motosikal yang didakwa membuat bising.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1 petang itu, kira-kira 20 buah motosikal yang dipercayai menyertai konvoi menghadiri majlis perkahwinan tersebut membuat bising dengan memulas pendikit minyak motosikal sebagai tanda ketibaan pengantin.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di kawasan itu sehingga mencetuskan pergaduhan.  

Kejadian itu menjadi tular di media sosial dan aplikasi WhatApps di mana rakaman video berdurasi seminit 38 saat itu menunjukkan sekumpulan lelaki merosakkan motosikal di hadapan dewan dengan seorang daripadanya dilihat membawa senjata seperti parang masuk ke dalam dewan. — Bernama

Advertisement