Anda di sini

Kontraktor didakwa perdaya Jabatan Akauntan Negara dengan dokumen palsu

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memperdayakan Jabatan Akauntan Negara dengan dokumen tuntutan palsu.

Tertuduh Kaslan Jiman, 46, didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Okt, 2013 di Jabatan Akauntan Negara Malaysia Sabah di sini dengan memberikan invois tidak bertarikh atas nama syarikat Nisha Enterprise No. RW0413 dan Pesanan Kerajaan P13000085 bertarikh 22 Okt 2013 kepada Penolong Akauntan Unit Bayaran Jabatan Akauntan Malaysia Sabah, Jusline Lingok.

Dokumen tersebut didakwa untuk kerja pembaikan pintu pejabat pentadbiran, perpustakaan dan pejabat hal ehwal pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut bernilai RM19,800 yang tidak dilaksanakan.

Kaslan didakwa meng-ikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Awang Samsul Baharam Bungso memberitahu mahkamah kesalahan di bawah Akta SPRM tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau berkata jika mahkamah membenarkan ikat jamin kepada tertuduh, SPRM  menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan RM10,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan.

Kaslan, yang tidak diwakili peguam, memohon nilai ikat jamin dikurangkan memandangkan dia tidak mempunyai pendapatan sejak ditangkap SPRM semalam dan mempunyai empat anak yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan RM8,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan dan pasport tertuduh juga perlu diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut memberikan tempoh sebulan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 8 Ogos depan. — Bernama

Advertisement