Anda di sini

Jadikan musim perayaan ruang eratkan silaturahim: Gerawat

Advertisement
 Gerawat (duduk, lima kanan) bergambar bersama penduduk dan tetamu di kediaman Medli (tiga kiri). Turut kelihatan ialah Nancy (enam kanan).
RAI BERSAMA: Gerawat (duduk, lima kanan) bergambar bersama penduduk dan tetamu di kediaman Medli (tiga kiri). Turut kelihatan ialah Nancy (enam kanan).

TIMBALAN Speaker DUN, Datuk Gerawat Gala mahu hubungan baik dan rapat di kalangan masyarakat di kawasannya dikekalkan dengan menjadikan musim perayaan sebagai peluang dan ruang mengeratkan hubungan dan silaturahim di kalangan mereka.

Katanya, amalan kunjung-mengunjungi pada hari raya secara tidak langsung turut mengeratkan hubungan persaudaraan dan juga persahabatan di kalangan mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama di konstituensi Mulu.

“Sehubungan itu, ahli-ahli rombongan yang menyertai saya sempena kunjungan hari raya Aidilfitri kali ini terdiri daripada rakan-rakan daripada pelbagai kaum, Orang Ulu, Iban serta Cina, sebagai menggalakkan dan membuktikan perpaduan yang amat baik di kalangan penduduk di Kampung Melayu Lubok Nibong di sini,” jelasnya.

Justeru, beliau melahirkan rasa amat terharu dengan lawatan kali ini yang menyaksikan pengunjung yang ramai, sejumlah 64 orang, yang didatangkan khas menggunakan sebuah bot ekspress yang disewa khas oleh Gerawat sendiri, sekali gus menunjukkan kerjasaman penuh di antara kaum yang ada.

Gerawat yang juga ADUN Mulu memberitahu Kampung Melayu Lubok Nibong ialah satu-satunya Kampung Melayu dalam konstituensi Mulu dan ia amat istimewa sekali kepada penduduk dan rakyat di kawasan berkenaan.

Justeru kehadiran Gerawat ke kampung berkenaan turut membawa khabar gembira apabila beliau bersetuju dengan permohonan ketua kaumnya, Medli Moss, agar membina sebuah jeti di kampung tersebut.

“Kedua ialah kita akan membina projek jalan simen di sekeliling rumah yang ada di kampung ini dan ketiga ialah permohonan mengenai jalan raya akan menghubungkan kampung berkenaan dengan Pekan Marudi dan seterusnya ke Miri (melalui Jalan Marudi-Miri),” jelasnya. 

 Ketibaan Gerawat dan rombongan disambut mesra oleh penduduk Kampung Melayu           Lubok Nibong.
SAMBUTAN MESRA: Ketibaan Gerawat dan rombongan disambut mesra oleh penduduk Kampung Melayu Lubok Nibong.

Gerawat berkata beliau bercadang untuk membina jalan raya tersebut menerusi jalan ladang kelapa sawit yang sedia ada.

Sehubungan itu beliau memberitahu akan berhubung dengan pengurus ladang berkenaan untuk mendapatkan kebenaran dan kerjasama syarikat tersebut, agar dapat membina sebatang jalan raya yang baik dan boleh menghubungkan penduduknya ke pekan Marudi dan bandar raya Miri.

Sempena kunjungan itu Gerawat turut mengumumkan geran peruntukan pembangunan kecil luar bandar berjumlah RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti tahunan.

Beliau kemudiannya menyampaikan duit raya kepada anak-anak kecil di kampung tersebut, sempena majlis sambutan hari raya yang diadakan di kediaman Medli.

Hadir sama menemani Gerawat ialah Pegawai Tadbir Nancy Abau yang mewakili Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong; ketua masyarakat Pemanca Chong Chin Hui, Penghulu Randi Bundan, Penghulu Tie King Ung dan ketua-ketua kaum serta tuai-tuai rumah panjang dari kawasan Mulu.

  • oleh
  • Advertisement