Anda di sini

Bekas kontraktor didakwa perdaya Muzium Seni Bina Malaysia

Advertisement
 Mohammad Trevor (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka semalam atas tuduhan memperdaya Muzium Senibina Melaka menggunakan dokumen palsu berhubung invois berjumlah RM169,500, empat tahun lepas. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Mohammad Trevor (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka semalam atas tuduhan memperdaya Muzium Senibina Melaka menggunakan dokumen palsu berhubung invois berjumlah RM169,500, empat tahun lepas. — Gambar Bernama

MELAKA: Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini semalam, atas pertuduhan memperdaya Muzium Seni Bina Malaysia di Bandar Hilir  menggunakan dokumen palsu berhubung invois kerja-kerja pembangunan, empat tahun lepas. 

Mohammad Trevor Mohammad Darby, 35, didakwa mengemukakan satu dokumen iaitu ‘Pesanan Kerajaan’ berserta invois berjumlah RM169,500 kepada kurator muzium berkenaan, Azahar Mat Daud, mengenai kerja-kerja membangunkan ‘Sistem Pameran Berkonsepkan Holografik’ bagi muzium itu sedangkan tertuduh mengetahui dokumen tersebut mengandungi butiran palsu. 

Tertuduh sebagai pemilik Syarikat Ultra Integrated ketika itu didakwa memperakukan bahawa kerja-kerja pembekalan sepenuhnya telah dibuat dalam keadaan memuaskan dan mengikut penentuan, tetapi sebenarnya adalah sebaliknya.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Muzium Seni Bina Malaysia di sini pada 24 Dis 2013, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurdiyanah Mohd Nawawi menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada mahkamah. 

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan dia kini hanya berniaga makanan secara dalam talian serta perlu menanggung anak dan ibu bapanya yang telah bersara.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan Mohammad Trevor diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement