KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan tekstil dari Indonesia menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah syabu seberat 673.4 gram, tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Dedy Saputra, 31, di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya Ab Karim berkata mahkamah mendapati tertuduh tidak mempunyai pengetahuan terhadap pemilikan dadah tersebut yang ditemui dalam sebuah peti besi di bilik utama rumah sewanya.
Katanya ini kerana tertuduh sendiri telah membawa anggota polis ke rumah itu dan hasil pemeriksaan menemui dadah di dalam peti besi bersama bil Astro yang tertera nama tertuduh.
“Penemuan bil Astro milik tertuduh juga tidak munasabah berada di dalam peti besi itu sedangkan barangan peribadi tertuduh yang lain semuanya berada di bilik kedua,” katanya.
Dedy yang menetap di Malaysia dan berkahwin dengan wanita negara ini didakwa mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat 673.4 gram di sebuah kondominum di Dang Wangi, pada 4.45 petang, 3 April lepas.
Bapa kepada seorang anak lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil dalam prosiding perbicaraan yang bermula Feb lepas.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N.Sivananthan. — Bernama