Anda di sini

Tunjuk kemaluan, pengawal keselamatan dipenjara lima bulan

Advertisement

PETALING JAYA: Gara-gara menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di sebuah stesen bas, seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.   

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sualim Paraueg, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang pegawai khidmat pelanggan yang berusia 31 tahun dengan cara melakukan aksi lucah iaitu menunjukkan kemaluannya.   

Tertuduh melakukan perbuatan itu di stesen bas Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, di sini pada 6 pagi, 13 Jun 2016.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.   

Dia juga dihukum penjara lima bulan dengan dua sebatan  selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.  Mahkamah  memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula semalam.

Lelaki itu melakukan kesalahan kedua tersebut di pos pengawal keselamatan Jalan Tanjung, SD 13/4, Sri Damansara, di sini pada jam 12.10 tengah hari, 8 Dis 2016 mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1963 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan sebat.   

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran kepada tertuduh.    

Tertuduh merupakan warga asing yang datang ke Malaysia untuk bekerja, tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian dan perbuatan itu juga telah mendatangkan trauma terhadap mangsa,” katanya.    

Tertuduh yang diwakili peguam Siti Rohaya Mohd Tajudin memohon hukuman penjara minimum atas alasan bapanya sedang sakit tenat di Bangladesh dan dia perlu menanggung tiga orang anaknya yang masih kecil.      

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang menunggu bas tiba-tiba didatangi seorang lelaki (tertuduh) yang menaiki motosikal dan mengajaknya melakukan hubungan seks dengan mangsa serta sanggup membayarnya.    

Mangsa yang ketakutan telah menolak pelawaan itu dan ingin melarikan diri namun tertuduh berjaya menarik baju dan beg galas miliknya sebelum menunjukkan kemaluannya.    

Selepas berjaya melarikan diri, mangsa membuat laporan polis.

Pada 8 Dis 2016, tertuduh telah dikenal pasti ketika menjalani kawad cam di balai polis. — Bernama

Advertisement