Anda di sini

SSPA lancar strategi pulihara jerung, pari

Advertisement

Tumpu kepada pembaharuan undang-undang dan dasar, penyelidikan serta kesedaran

SANDAKAN: Persatuan Perlindungan Jerung Sabah (SSPA) melancarkan inisiatif untuk memberi tumpuan kepada pembaharuan undang-undang dan dasar, penyelidikan serta kesedaran dalam usaha mengukuhkan pemuliharaan jerung dan ikan pari di Malaysia terutama di Sabah. 

Menyedari kebanyakan jerung dan ikan pari di perairan Sabah yang tidak dilindungi secara sah dan pendaratan yang meningkat dengan ketara dalam tempoh tiga dekat yang lepas, anggota SSPA menyatukan kepakaran mereka untuk melaksanakan tiga aktiviti strategik utama.

Pengerusinya, Aderick Chong berkata matlamat sokongan SSPA sepanjang tahun depan ialah untuk mengukuhkan pemuliharaan jerung dan ikan pari di Malaysia, dengan tumpuan kepada Sabah - yang merupakan negeri paling penting bagi kedua-dua spesies ini.

Untuk mencapai matlamat ini, SSPA akan menjalin kerjasama dengan jabatan kerajaan yang berkaitan untuk meningkatkan undang-undang bagi perlindungan jerung dan ikan pari di pelbagai peringkat, mempromosikan perlindungan jangka panjang di peringkat kebangsaan.

Pembaharuan undang-undang dan dasar akan disokong dengan penyelidikan, yang termasuk kajian baharu mengenai nilai pasaran spesies ini dan sama ada pendaratan berdasarkan sasaran perikanan atau tangkapan sampingan. Kajian juga akan melihat kepada nilai pasaran bagi jerung dan ikan pari berkaitan ekopelancongan.

Tumpuan terhadap kesedaran, akan menyaksikan kami melaksanakan kempen yang berkesan dalam menyokong pembaharuan undang-undang dan dasar membabitkan pembuat dasar hingga pelajar dan golongan nelayan - mengenai kepentingan biologi  dan kewangan bagi jerung dan ikan pari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata SSPA merancang mengadakan perjumpaan dengan pembuat keputusan pada Mac tahun depan bagi persetujuan ‘Vision 2030’ dan menetapkan pelan tindakan  untuk memastikan kelestarian jerung dan ikan pari di perairan Sabah dan seterusnya.

SSPA terdiri daripada Land Empowerment Animals People (LEAP), Persatuan Pencinta Alam Malaysia cawangan Sabah, Scuba Junkie SEAS, Shark Stewards, Scubazoo, Tropical Research and Conservation Centre (TRACC) dan WWF-Malaysia. — Bernama

Advertisement