Anda di sini

Pencuci kereta dipenjara enam bulan pecah rumah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pencuci kereta dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana memecah masuk sebuah rumah melalui siling, bulan lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Rozainin Maliki, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pecah rumah dengan memecahkan siling rumah itu di Jalan Satang 2, Taman Setapak, Wangsa Maju di sini pada jam 8.30 malam, 23 Jun lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap pada 29 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda dan jika kesalahan termasuk mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan yang dilakukan kali kedua juga boleh dikenakan denda atau sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung dua anak manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. — Bernama

Advertisement