Anda di sini

MKN akan beri bantuan kepada mangsa kebakaran

Advertisement
 Tawfiq dan Syed Abas melawat Pusat Pendaftaran Mangsa-Mangsa Kebakaran Kampung Hidayat Laut di Tawau.
DIBANTU: Tawfiq dan Syed Abas melawat Pusat Pendaftaran Mangsa-Mangsa Kebakaran Kampung Hidayat Laut di Tawau.

TAWAU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada warga asing yang turut menjadi mangsa kebakaran di Kammpug Hidayat Laut, Batu 4 Jalan Apas, di sini.

Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata hal itu sudah dinyatakan oleh MKN kepada beliau.

Pagi tadi (kelmarin), saya sudah mengadakan pertemuan dengan MKN, dan mereka akan berbuat sesuatu untuk memastikan semua pihak dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan berhubung status penempatan yang unik di kampung itu kerana terdapat rumah yang musnah terbakar, sebelum ini didirikan menerusi Skim Penempatan Pelarian Filipina Tawau, Unit Penempatan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri era pemerintahan Berjaya.

Penempatan yang didiami oleh warga tempatan itu diakuinya turut menempatkan pelarian-pelarian perang dari Filipina namun memiliki dokumen pengenalan diri seperti IMM13 dan sebagainya.

Wakil rakyat di kawasan ini iaitu ADUN Balun Datuk Syed Abas Syed Ali juga akan menghubungi Pusat Zakat Sabah untuk mendapatkan bantuan kepada semua mangsa tanpa mengira kewarganegaraan.

Untuk mangsa yang terdiri daripada warganegara Malaysia pula, mereka akan dibantu secara langsung oleh kerajaan dan agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Malah, Tawfiq, Syed Abas dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching juga akan menemui kepimpinan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk memohon bantuan segera.

Tawfiq yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata Biro Kebajikan UMNO Tawau juga sudah digerakkan untuk memberikan bantuan segera penyediaan makanan dan minuman.

Kita menasihati mangsa kebakaran supaya bersabar walaupun ditimpa musibah dan bersyukur kerana sekurang-kurangnya tidak ada kes kehilangan nyawa berlaku.

Kepada penduduk berisiko tinggi kebakaran, kita minta berhati-hati dan memastikan peralatan elektrik serta bahan mudah bakar lain sentiasa diperiksa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada pasukan bomba dan penyelamat, polis, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA, pemimpin kampung dan setempat dan kampung-kampung berhampiran yang tampil membantu.

Kita juga berterima kasih dengan ahli-ahli UMNO di kawasan terbabit yang turut berkorban masa dan tenaga hadir ke tempat kejadian membantu walaupun masih dalam suasana Syawal,” katanya.

Advertisement