Anda di sini

Lee bentang isu keluarga di Parlimen

Advertisement

Perbalahan terbuka dengan adik-adiknya mengundang keresahan di Singapura

 Lee menjelaskan tentang perbalahan keluarganya semasa sesi khas Parlimen di Singapura, semalam. — Gambar Reuters
PENJELASAN DITUNTUT: Lee menjelaskan tentang perbalahan keluarganya semasa sesi khas Parlimen di Singapura, semalam. — Gambar Reuters

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam menepis dakwaan adik-adiknya bahawa beliau menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan nepotisme tatkala berdepan Parlimen berhubung perbalahan keluarga yang mengejutkan negara tersebut.

Namun beliau menolak kemungkinan akan menyaman adik-adiknya atas serangan dalam talian mereka berhubung warisan bapa mereka Lee Kuan Yew, pemimpin pengasas Singapura.

Negara itu dikawal ketat di mana penapisan dan saman fitnah digunakan ke atas pengkritik keluarga pertama.

Dakwaan mereka tidak berasas sama sekali,” kata Lee, 65, pada sesi biasa di Parlimen.

Adik perempuannya Wei Ling, 62, dan adik lelakinya Hsien Yang, 60, menuduh beliau mempergunakan warisan bapa mereka untuk agenda politiknya sendiri dan berusaha memupuk anak lelakinya Li Hongyi, kini seorang penjawat awam kanan yang terlibat dalam perkhidmatan data kerajaan, untuk menjadi pemimpin negara tersebut suatu hari nanti.

Perbalahan tersebut yang terdedah bulan lepas, merupakan kemuncak kepada pertikaian mengenai kedudukan banglo keluarga sejak kematian bapa mereka pada 2015, yang memerintah Singapura dengan kuku besi di samping mengubah negara itu menjadi antara masyarakat terkaya di dunia.

Lee menyeru debat terbuka di Parlimen selepas serangan dalam Facebook ke atasnya dan isterinya Ho Ching, yang merupakan CEO dana pelaburan kerajaan Temasek Holdings.

Lee memohon maaf buat kali kedua berhubung perbalahan itu dan menolak dakwaan nepotisme, sebaliknya mempertikai ketua pegawai eksekutif Temasek dilantik ahli lembaga yang tertakluk kepada pengesahan Presiden Singapura.

Beliau turut menegaskan bahawa anaknya sudah menjelaskan pendiriannya yang tidak berminat dengan politik.

Dakwaan mereka mero-sakkan reputasi Singapura.

Jika tidak dinafikan, ia juga boleh menjejaskan keyakinan rakyat Singapura terhadap kerajaan,” katanya kepada Parlimen.

Lee berkata, rakyat Singapura sudah muak dengan topik tersebut dan berharap ia akan ditamatkan.

Bagaimanapun, beliau menafikan akan menyaman adik-adiknya kerana proses tersebut boleh berlarutan bertahun-tahun sekali gus memburukkan lagi nama ibu bapa mereka.

Sorotan pertikaian itu adalah sebuah banglo berusia seratus tahun yang diwasiatkan oleh mendiang Lee agar dirobohkan selepas kematiannya bagi mencegah penubuhan kultus personaliti.

Adik-adik Lee mendakwa beliau cuba menyekat proses tersebut untuk mengaut keuntungan daripada warisan bapa mereka, termasuk memupuk anaknya sendiri untuk menjadi pemimpin generasi ketiga, satu tuduhan yang dinafikan Lee dan isterinya.

Keluarga Lee boleh disifatkan seperti keluarga diraja Singapura yang mendominasi politik negara itu selama hampir enam dekad.

Lee berkata, di sebalik klausa pemusnahan yang menentukan nasib rumah tersebut dalam wasiat terakhirnya, mendiang bapanya bersedia untuk mempertimbang alternatif malah meluluskan pelan pengubahsuaian sekiranya kerajaan enggan merobohkannya.

Beliau menafikan terlibat penubuhan jawatankuasa menteri-menteri diketuai timbalannya Teo Chee Hean untuk meneliti pelbagai pilihan bagi menentukan nasib rumah tersebut yang telah menganjurkan banyak mesyuarat awal Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak 1959. 

Mendiang Lee menjadi perdana menteri sejak tahun tersebut hingga 1990, manakala Lee sendiri berkuasa sejak 2004.

Singapura hanya pernah memiliki satu perdana menteri bukan dari keluarga Lee iaitu Goh Chok Tong.

Perbalahan tersebut menyorot klausa dalam wasiat terakhir Lee yang menetapkan rumah lama keluarga dirobohkan selepas kematiannya atau selepas anak perempuannya yang belum berkahwin berpindah keluar dari situ.

Mendiang Lee khuatir rumah tersebut akan dijadikan muzium di mana orang tidak dikenali berjalan sesuka hati dalam bilik peribadi keluarga.

Rumah lima bilik serba sederhana di Jalan Oxley itu dibina pada lewat kurun ke-19 di kawasan yang pernah menjadi ladang getah, sebelum nilainya meningkat tatkala Singapura berubah menjadi negara bandar serba makmur.

Tanah tapak rumah tersebut yang terletak di pinggir lebuh beli-belah Jalan Orchard, dianggarkan oleh ejen hartanah bernilai kira-kira Sg$24 juta. — AFP

Advertisement