Anda di sini

Dua kali potong tong dram berisi mayat Kevin Morais

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia perlu melakukan dua kali pemotongan untuk membuka tong dram berisi mayat Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang dibuang ke dalam sebuah paya, di Subang Jaya, Selangor.

Anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat SS3, Subang Jaya, Selangor, Osman Mohd Lukman berkata dia dan pasukannya melakukan kerja-kerja pemotongan tong dram itu pada 16 Sept 2015.

Kami menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis yang meminta bantuan peralatan bomba di sebuah lokasi di USJ1. Sebaik tiba di lokasi, penyelia saya dan pihak polis mengarahkan untuk memotong satu tong dram.

Saya kemudian memotong sebuah tong dram menggunakan alat ‘power saw’, pertama saya potong di bahagian penutup atas dalam keadaan membulat dan kemudian potong tong tersebut dalam keadaan melintang, tong tersebut kemudian terbuka,” katanya yang memberitahu tong itu kelihatan buruk dan berwarna kemerah-merahan.

Osman yang merupakan saksi pendakwaan ke-62 berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, dalam perbicaraan kes pembunuhan Kevin Morais semalam.

Kepada soalan Wan Shaharuddin apakah yang dilihatnya semasa memotong tong itu, Osman berkata dia nampak batu-batu kecil, guni dan air yang busuk mengalir keluar daripada tong itu.

Lima lelaki - R. Dinishwaran, 25; A.K. Thinesh Kumar, 24; M. Vishwanath, 27; S. Nimalan, 24; dan S. Ravi Chandaran, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Dr R. Kunaseegaran, 54, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama. — Bernma

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement