Anda di sini

Rumah Muzik Pulau Pinang pelihara warisan berzaman

Advertisement
__alt__

GEORGE TOWN: Irama muzik boria, ronggeng, dondang sayang, inang, joget serta keroncong yang menjadi halwa telinga popular satu ketika dahulu, kini semakin ditelan zaman sehingga ada di antara muzik itu tampak asing bagi sebahagian generasi muda masa kini.

 Menyedari hakikat itu, Rumah Muzik Pulau Pinang (RMPP) yang ditubuhkan di Komtar di sini pada November lepas, menggiatkan usaha untuk memelihara dan menghidupkan warisan seni kreatif itu agar ia tidak pupus.

 “Muzik merupakan satu daripada elemen penting dalam perkembangan sejarah dan budaya di negeri ini.

 Sebab itulah Rumah Muzik ditubuhkan, ia untuk mendokumen dan memelihara khazanah muzik ini sebelum luput.

 “Penting untuk generasi akan datang tahu apa yang berlaku dalam dunia muzik pada masa dahulu dan menghargainya kerana ia juga merupakan sejarah dalam perkembangan budaya pelbagai kaum di negeri ini,” kata Pengarah RMPP Paul Augustin kepada Bernama di sini.

 Paul berkata objektif penubuhan RMPP juga adalah untuk mengiktiraf dan mahu masyarakat tahu bahawa ramai lagi penggiat seni muzik yang berasal dari Pulau Pinang selain Seniman Agung Tan Sri P.  Ramlee.

 “Orang hanya tahu P. Ramlee dari Pulau Pinang, tapi sebenarnya ramai lagi seniman muzik seperti Ahmad Nawab, Ahmad Daud, Jimmy Boyle selain beberapa kumpulan muzik popular juga berasal dari negeri ini,” kata Paul.

 Selain itu, RMPP yang memaparkan pelbagai kisah sejarah muzik seawal 1940-an hingga kini, juga diharap dapat menjadi platform kepada penggiat seni masa kini untuk mendapatkan maklumat selain menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburkan diri dalam dunia muzik.

 “Tempat ini terbuka untuk semua setiap hari, datanglah untuk mengekspresi muzik anda dan jika tiada instrumen, kita sediakan piano, bass, dram dan macam-macam lagi yang boleh digunakan pengunjung Rumah Muzik ini,” katanya.

 Paul berkata antara tarikan lain di RMPP ialah ia mempunyai pusat sumber yang mengumpulkan ribuan koleksi muzik dari pelbagai negara dan ‘’kotak hitam’’ sebagai pentas untuk penggiat seni mempersembahkan kemahiran mereka sama ada mahu bermain instrumen atau menyanyi.

 “Selalunya pada petang hujung minggu kita ada pelbagai persembahan melibatkan pelbagai peringkat umur di kotak hitam dan kadang kala, ada pemuzik popular yang menyertai kita,” katanya.

 Paul berkata pengunjung juga berpeluang mencuba menjadi seorang penyampai radio dalam studio rakaman berkonsepkan zaman dahulu dan boleh memuat turun rakaman suara mereka untuk kenangkenangan.

 “Selain itu, koleksi radio zaman dahulu, keratan akhbar dan majalah, gambar-gambar, koleksi lagu-lagu hasil nyanyian dan ciptaan komposer berasal dari Pulau Pinang yang boleh anda lihat serta dengar di sini.

 “Lebih menarik ada lagu-lagu lama dendangan penyanyi tempatan yang popular di luar negara masa zaman dahulu, tapi kita pun tak tahu,” katanya.

 Kebanyakan bahan yang dipamerkan di RMPP diperoleh daripada anggota keluarga para penggiat seni, sama ada dibeli, dipinjam atau dihadiahkan kepada RMPP, kata Paul yang berharap RMPP dapat memberi impak besar kepada masyarakat terutamanya pencinta muzik tanah air.

 — Bernama

  • oleh
  • Advertisement