Anda di sini

Transaksi kad kredit dan debit guna PIN diterima baik

Advertisement

KOTA KINABALU: Pe-laksanaan pembayaran melalui kad kredit dan debit menggunakan nombor pengenalan peribadi (PIN) pada 1 Julai adalah satu tin-dakan yang positif daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Presiden Dewan Perniagaan Cina dan Perindustrian Kota Kinabalu (KKCCCI) Datuk Michael Lui berkata pendekatan itu sangat dipersetujui oleh semua ahli dewan perniagaan di bawah persatuan itu.

“Walaupun pelaksanaan cara pembayaran itu adalah baharu tapi ia telah diberikan tempoh percubaan selama enam bulan. Hasilnya, kesemua ahli perniagaan di bawah dewan ini sangat berpuas hati dengan pendekatan baharu itu.

“Cara itu memberikan jaminan keselamatan kepada para pemegang kad memandangkan hanya mereka sendiri sahaja yang mengetahui PIN masing-masing,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata, cara terbaharu itu secara tidak langsung boleh memberikan jaminan keselamatan kepada para pemegang kad dan juga pekedai selain mampu mengelakkan kad daripada digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, perubahan yang dilakukan itu turut memberikan peluang dan menggalakkan para pengguna untuk lebih cenderung mendekati dunia teknologi maklumat (IT).

“Keadaan ini secara tidak langsung membolehkan semua pengguna tidak kira peringkat umur belajar menggunakan teknologi terkini.

“Ia juga mampu melahirkan masyarakat yang celik IT,” katanya.

Michael berkata pengguna boleh menggunakan kesempatan itu untuk mengubah diri bagi berhadapan dunia yang semakin berdaya saing dalam bidang IT.

Katanya, pihak bank turut memberikan kerjasama yang baik kepada para usahawan dengan memberikan maklumat dan cara-cara penggunaan kaedah terbaharu itu.

Sebelum ini, BNM mengumumkan transaksi pengesahan pembayaran kad kredit dan debit menggunakan tandatangan akan dihapuskan secara berperingkat untuk digantikan dengan sistem berasaskan PIN pada 1 Julai 2017.

Para pemegang kad diberi tempoh selama enam bulan mulai Januari sehingga Jun 2017 untuk membiasakan diri dengan sistem baharu itu sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Sistem ‘pin dan bayar’ itu membolehkan pemegang kad membuat pembayaran dengan memasukkan PIN enam digit tanpa menurunkan sebarang tandatangan seperti sekarang.

Langkah yang dipertingkat itu juga akan menjadikan sistem pembayaran jauh lebih selamat.

Advertisement