Anda di sini

Remaja antara tiga didakwa terlibat kongsi gelap di Perak

Advertisement

KUALA KANGSAR: Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap.

Dua daripada mereka, Liew Kah Chun, 27, dan Chip Weng Sang, 45, masing-masing mengaku salah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noorhidayah Mohd Saad yang kemudian memerintahkan kedua-duanya didenda masing-masing RM5,000 dan RM1,000.

Majistret turut memerintahkan Liew dan Chip menjalani hukuman penjara 12 bulan dan sebulan masing-masing sekiranya gagal membayar denda. Mereka membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Liew didakwa memiliki tatu lambang kumpulan kongsi gelap Wah Kee ‘Geng 04/18’ pada pergelangan tangan kiri di Pertubuhan Kemakmuran Si Gong Malaysia Cawangan Sungai Siput, Taman Lintang Makmur, Sungai Siput kira-kira jam 4.15 petang, 25 Jun lalu. 

Pekerja hotel itu didakwa mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM15,000.

Chip seorang petani pula didakwa menggunakan papan tanda Pertubuhan Kemakmuran Si Gong Malaysia Cawangan Sungai Siput tanpa kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di alamat, tarikh dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM3,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya N. Jayanthi, manakala kedua-kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi remaja berusia 16 tahun itu pula, prosiding dijalankan secara tertutup dan kes akan disebut semula 27 Julai ini kerana anggota keluarga remaja berkenaan tidak hadir.

Mahkamah kemudian membenarkan remaja itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. — Bernama

Advertisement