Anda di sini

Calisthenics, aktiviti kecergasan menggunakan berat badan individu

Advertisement
 Sebahagian daripada para peserta pertandingan Calisthenics yang dianjurkan di salah sebuah pusat beli-belah baru-baru ini.
BERTANDING: Sebahagian daripada para peserta pertandingan Calisthenics yang dianjurkan di salah sebuah pusat beli-belah baru-baru ini.

TIDAK dapat dinafikan setiap individu mahu kelihatan sihat dan mempunyai tubuh badan yang menarik dan sasa.

Ada sesetengahnya sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata mahu menjadi pengguna gimnasium, mengikuti program kecergasan dan menyertai acara larian.

Di samping semua aktiviti yang dinyatakan tadi, ramai orang tidak mengetahui mengenai aktiviti kecergasan Calisthenics.

Pengasas Gravity Calisthenics Academy Miri, Bryan Michael berkata, Calisthenics merupakan senaman kecergasan yang menggunakan berat badan individu itu sendiri.

“Kebiasaannya kita tidak menggunakan lebihan berat seperti peralatan besi yang ada di gimnasium tetapi kita ada menggunakan besi yang dinamakan ‘bar’ di mana alat ini yang akan berfungsi untuk melatih kita mengimbangi berat badan.

“Apa yang menariknya, aktiviti kecergasan ini juga merupakan pergerakan gimnastik lanjutan di mana kita mengadaptasikan beberapa pergerakan dalam gimnastik semasa beraksi di bar,” katanya ketika ditemu bual pemberita baru-baru ini.

Aktiviti kecergasan yang mula diperkenalkan di Amerika Syarikat ini mula bertapak di Miri pada awal tahun 2014 dulu.

Bryan berkata, antara rutin harian yang biasa dijalankan dalam latihan Calisthenics pada peringkat permulaan ialah tekan tubi dan berlari.

“Individu boleh memilih cara senaman apa yang mereka ingin amalkan kerana ia berpandu pada keinginan seseorang, jika hendak membina otot, ada senamannya sendiri, jika mahu kurus juga mempunyai cara senaman tersendiri.

“Melalui Calisthenics, perubahan yang ketara pada diri masing-masing adalah kekuatan stamina mereka yang lebih kuat selepas melalui semua proses senaman tersebut.

“Ada yang baharu menceburi dalam senaman ini mulanya datang dengan badan yang berisi, tetapi setelah melalui pelbagai senaman, mereka mula kelihatan kurus dan berada dalam tahap kecergasan yang tinggi,” katanya.

Jelas Bryan, apa yang menariknya Calisthenics ialah ia ada latihan pergerakan ‘freestyle’ untuk yang profesional.

“Freestyle yang dimaksudkan ialah mereka yang sudah mengikuti semua rutin senaman ini akan menggunakan kemahiran untuk berpusing-pusing di bar.

“Untuk yang baharu, kita tidak galakkan untuk melakukan freestyle ini kerana tanpa latihan dan rutin senaman yang mencukupi, boleh menyebabkan kecederaan jika tidak tahu caranya,” katanya.

Bryan yang mengasaskan Calisthenics bersama rakannya Lee Kuan Ce dan Raymond Lau banyak belajar sendiri cara senaman Calisthenics.

“Banyak juga kemahiran yang saya perolehi setelah mengikuti beberapa pertandingan di peringkat dalam dan luar negara,” katanya.

Bryan menggalakkan mereka yang gemar aktiviti kecergasan agar mencuba senaman Calisthenics tidak kira peringkat umur dan jantina.

  • oleh
  • Advertisement