Anda di sini

SEDCO bangunkan tanah seluas 15 ekar di Sepanggar

Advertisement

PAPAR: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) membangunkan tanah seluas 15 ekar di Sepanggar bagi memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera di negeri ini menceburi sektor perkilangan.

Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Pengiran Saifudin Pengiran Tahir berkata, di tanah itu pihaknya sedang membina 54 kilang khas untuk masyarakat Bumiputera bernilai RM30 juta.

“Ini merupakan komitmen SEDCO dalam memastikan pembangunan ekonomi di negeri ini terus dipacu dan rakyat Sabah menikmati manfaatnya.

“Pelbagai rancangan pembangunan yang telah dirangka SEDCO serta akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan kewangan daripada kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, baru-baru ini.

Beliau berkata, SEDCO juga tidak ketinggalan meneruskan projek pembangunan di luar bandar.

Katanya SEDCO telah menerima peruntukan daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi projek pembangunan rumah kedai Bumiputera di Sook dan Kalabakan.

Menerusi anak syarikat Sedco, pihaknya komited untuk mendidik generasi muda mengenai kepentingan keusahawanan.

“Lebih 22 sekolah di negeri ini terlibat dalam program pendedahan perniagaan. Selain memberi pendedahan, kita juga menyediakan peluang perniagaan,” katanya.

Selain itu katanya, SEDCO kini juga sedang menaiktaraf Anjung Senja, Likas bagi menyediakan premis perniagaan dalam suasana yang kondusif kepada para peniaga Bumiputera.

Advertisement