KUNAK: Polis sedang mengesan sebuah kenderaan dipercayai berwarna perak yang disyaki terlibat dalam kes kemalangan langgar lari sehingga mengakibatkan seorang lelaki warga emas (pejalan kaki) terbunuh dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Kunak-Semporna, Ahad lalu.
Jurucakap Polis Daerah Kunak yang mengesahkan kejadian itu berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam itu, mangsa dikenali sebagai Labobo Ladasulao, 77, memiliki dokumen Permastautin Tetap dan merupakan salah seorang penduduk di daerah itu.
Menurutnya kejadian itu telah disedari oleh orang awam yang menjumpai mayat mangsa semasa melalui kawasan itu sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
“Siasatan awal polis mendapati berdasarkan beberapa kesan yang diperolehi di tempat kejadian, kemungkinan mangsa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan berwarna silver (perak) yang tidak dikenali,” katanya sambil menambah, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang awam agar tampil membantu siasatan kes jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu.
“Kepada mana-mana orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Pusphalatha Shukumar di talian 010-2156785 atau Balai Polis Kunak di talian 089-851222.
“Kes merupakan kemalangan maut di daerah ini dalam tempoh Ops Selamat sempena perayaan Aidilfitri,” katanya.