Anda di sini

Lelaki ugut bunuh dua anak

Advertisement
 Pedang samurai dan pisau pemotong sayur yang diserahkan oleh suspek sebelum dirampas pihak polis.
UGUT BUNUH: Pedang samurai dan pisau pemotong sayur yang diserahkan oleh suspek sebelum dirampas pihak polis.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang mengalami kemurungan mengugut untuk membunuh dua anak perempuannya yang dikurung di dalam bilik di rumah keluarga angkatnya di Kampung Suang Parai Manggatal, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, suspek yang berumur 30 tahun itu melakukan perbuatan terbabit selepas kecewa terhadap bekas isterinya yang berada di Johor tidak balik beraya bersama mereka.

“Siasatan awal mendapati suspek yang mengalami kemurungan bertindak mengurung dua anaknya yang berumur lima dan empat tahun di dalam bilik di rumah keluarga angkatnya.

“Pemilik rumah yang takut dengan kejadian kemudiannya mendapatkan pertolongan daripada anak saudaranya (pengadu) untuk menasihati suspek agar melepaskan anak-anaknya.

“Suspek bagaimanapun tidak mempedulikan nasihat berkenaan dan mengamuk serta mengugut untuk membunuh anaknya menggunakan pedang samurai yang diacukan di bahagian leher anaknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Chandra berkata, pengadu kemudiannya melaporkan kejadian kepada pihak polis selepas suspek enggan bersetuju dengan nasihatnya.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis kemudiannya mengepung lokasi kejadian dan memujuk suspek untuk menyerah diri serta melepaskan anak-anaknya.

“Suspek kemudiannya menyerah diri beberapa minit kemudian dan membawa kedua-dua anaknya keluar dari bilik berkenaan sebelum menyerahkan kepada keluarga angkatnya dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata dua senjata termasuk pisau pemotong sayur dan pedang samurai sepanjang 40 sentimeter yang diserahkan oleh suspek kemudiannya dirampas sebagai barangan kes.

Tambahnya suspek yang positif dadah jenis syabu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Alamesra, dan kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Advertisement