Anda di sini

PBS komited suarakan hak untuk jaga kepentingan rakyat Sabah

Advertisement

TENOM: Parti Bersatu Sabah (PBS) sentiasa komited menyuarakan apa jua perkara yang menyentuh hak-hak dan kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita dapati kebanyakan rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda mungkin tidak mengetahui bahawa PBS lah yang mempelopori perkara berkaitan kepentingan Sabah seperti autonomi Sabah, penurunan kuasa, perkongsian kuasa, kebebasan beragama, royalti minyak, peruntukan pembangunan, program pembangunan insan seperti penubuhan universiti di Sabah, pembanterasan pendatang tanpa izin dan sebagainya.

“Ia telah pun diperjuangkan oleh PBS sejak tahun 1985 sehinggalah ke hari ini,” kata Ketua PBS Bahagian Melalap Datuk Seri Panglima Radin Malleh.

Katanya, ada dalam kalangan rakyat yang menganggap PBS sudah tidak relevan lagi malah mereka melihat PBS kurang lantang bersuara dan ada ahli PBS yang terpengaruh dengan persepsi negatif itu yang sengaja digembar-gemburkan oleh golongan penentang PBS, menyebabkan mereka terpengaruh menyertai parti lain termasuklah parti pembangkang.

Menurut beliau, PBS juga menghadapi persaingan daripada parti politik tempatan lain dan perjuangan PBS diciplak menjadi perjuangan parti-parti politik berkenaan.

“Kita dapat lihat kemunculan parti-parti baharu yang menampilkan slogan ‘Sabah for Sabahans’ yang juga merupakan perjuangan PBS selama ini untuk membela kepentingan rakyat berbilang kaum di Sabah, yang masih relevan sehingga hari ini,” katanya pada ucapan dasar perasmian serentak Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Melalap, pergerakan Pemuda dan Wanita di dewan terbuka kediamannya di Kampung Makakumpai, di sini, Sabtu lalu.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Radin yang juga Naib Presiden PBS berkata tanggapan negatif para penentang parti merupakan cabaran bagi parti dan ahli agar bekerjasama untuk menangkisnya.

“Kita dapat lihat ada parti politik di negara ini yang seangkatan dengan PBS telah berkubur. Dalam tempoh 32 tahun PBS bertapak di Sabah, parti kita telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran serta melakukan penambahbaikan bersesuaian untuk mengukuhkan parti termasuklah menggunakan pendekatan yang bersesuaian agar perjuangan parti kekal relevan di negara ini terutamanya di Sabah,” katanya.

Menurut beliau, jika segenap lapisan pemimpin dan rakyat berpegang teguh pada perlembagaan negara ini serta mengamalkan Rukun Negara, pelbagai isu seperti perkauman dan agama yang dibangkitkan oleh kumpulan tertentu sudah pasti dapat ditangani dengan baik dan bijak oleh pihak terbabit.

Katanya, keamanan negara, perpaduan kaum dan kestabilan politik itu penting demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negeri ini. Perpecahan dalam parti akan dapat dielakkan jika ahli parti setia, bersatu dan berpegang teguh pada perjuangan parti yang berlandaskan perlembagaan parti.

Melalui BN, katanya, PBS yakin dapat memainkan peranannya untuk bersama-sama kerajaan membina negara ini dan membela rakyat berbilang kaum di Sabah dengan lebih baik lagi. Kemampuan PBS untuk membela rakyat lebih terserlah jika PBS menjadi anggota parti kerajaan.

“Sebab itu, ada wakil rakyat pembangkang serta para penyokongnya teruja untuk menyertai BN. Mereka sedar kemampuan BN memajukan Malaysia dan negeri Sabah. Justeru, rakyat harus menolak wakil rakyat pembangkang berkenaan yang telah menyertai BN selepas pilihan raya tahun 2013 sekiranya mereka dicalonkan semula dalam pilihan raya akan datang.

“PBS telah membantah kemasukan mereka ini namun nampaknya pucuk pimpinan BN hanya diam membisu bertentangan dengan konsensus yang diamalkan BN selama ini, padahal apabila John Ghani yang memenangi kawasan Kuala Penyu atas tiket bebas memutuskan menyertai BN melalui PBS, pucuk pimpinan BN menolak penyertaan beliau kerana dibantah oleh parti komponen BN yang lain,” katanya.

Radin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata salah satu perjuangan utama PBS sejak lebih tiga dekad lalu adalah menyuarakan masalah kebanjiran pendatang tanpa izin dan keselamatan Sabah.

Justeru, beliau berharap dengan adanya Suruhanjaya Diraja Siasatan Mengenai Pendatang Tanpa Izin (RCI) di Sabah yang ditubuhkan pada 2012 dan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) selepas Tragedi Tanduo pada Mac 2013, maka isu-isu itu dapat diselesaikan dengan baik dan lebih berkesan lagi.

Malah, Presiden PBS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dalam RCI berkenaan telahpun menjelaskan status laporan RCI itu dalam sidang DUN Sabah yang lepas, dan penyelesaian isu-isu itu juga terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

“Justeru, ahli parti harus bertindak sebagai satu pasukan agar parti kuat dan mampu mengekalkan penguasaan BN di kawasan-kawasan yang diwakilinya terutamanya di Melalap.

“Berdasarkan senario politik masa kini, kita harus bersatu dan sentiasa bekerjasama termasuklah membuat penambahbaikan yang dapat mengukuhkan perjuangan parti khususnya di bahagian Melalap,” katanya.

Advertisement