Anda di sini

Ewon janji dapatkan peruntukan baik pulih jalan Kampung Kokob

Advertisement

RANAU: Masalah jalan masuk ke Kampung Kokob, kira-kira 10 kilometer dari pekan, yang rosak teruk akibat pengaliran air kerana tidak mempunyai sistem perparitan yang baik bakal diatasi setelah Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin meninjaunya, baru-baru ini.

Ewon dibawa oleh pengerusi Kawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alexander Mokijol meninjau keadaan jalan berkenaan ketika menghadiri Majlis Santai dan Dialog Bersama Belia Kampung Kokob.

Menurut Alexander, jalan raya yang dibina sejak era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) sekitar tahun 1994 itu tidak mendapat selenggaraan daripada mana-mana pihak sehinggalah ia rosak teruk.

Katanya, disebabkan tidak ada sistem perparitan yang betul maka aliran air ketika hujan lebat menyebabkan jalan raya sejauh 4 kilometer itu rosak teruk.

“Aliran air deras ketika hujan lebat bukan sahaja melalui jalan raya berkenaan malah kadang-kadang ia memasuki kawasan perumahan dan merosakkan landskap yang sedia ada di kampung itu,” katanya.

Selain itu katanya, jalan tidak berturap menuju ke setiap rumah di kampung itu amat menyusahkan penduduk untuk mengangkut barangan ke rumah masing-masing terutamanya pada musim hujan kerana terlalu licin.

Beliau berkata, kedudukan geografi Kampung Kokob yang agak curam juga merupakan satu masalah besar bagi kereta kecil untuk sampai ke rumah masing-masing akibat jalan raya yang tidak berturap seperti di kampung lain.

Sebagai respons kepada masalah itu, Ewon dalam ucapannya di majlis itu berjanji untuk mencari peruntukan bagi membaik pulih jalan berkenaan.

Katanya, walaupun peruntukan parlimen tidak mencukupi namun terdapat beberapa cara untuk mendapat peruntukan bagi masalah yang mendesak seperti itu misalnya dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Sebagai ahli Parlimen Ranau, saya akan berusaha dengan sedaya upaya bagi mendapatkan peruntukan itu dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan belia yang meminta supaya sebuah dewan serba guna dibina di kampung itu.

Katanya, Kampung Kokob yang mempunyai penduduk kira-kira 500 orang memang layak memiliki sebuah dewan serba guna bagi membolehkan para belia menjalankan pelbagai aktiviti seperti sukan.

“Tambahan pula, hanya tinggal Kampung Kokob yang masih tidak mempunyai dewan seperti itu berbanding kampung-kampung di sekitarnya,” katanya.

Majlis dialog yang turut disertai Ketua Pemuda UPKO Nasional Arthur Sen sebagai panel, belia kampung itu banyak mengutarakan persoalan tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan bagaimana mereka boleh menyertai bidang keusahawanan sehingga berhasil.

Semua persoalan telah dijawab oleh Ewon sendiri dan Arthur dengan cukup memuaskan sehingga para belia seramai kira-kira 20 orang itu amat berpuas hati dengan memberikan laungan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan semua pemimpinnya di Ranau, khususnya Ewon sendiri.

Pada majlis berkenaan, belia kampung itu turut menyerahkan sebanyak 25 keping borang keahlian baharu parti Pertubuhan Pasok Momogun KadazanDusun Murut Bersatu (UPKO) kepada Ewon yang diserahkan wakil mereka, Frenold Tingkui.

Advertisement